NTW2023 tawar lebih 100 kursus, nilai latihan RM10 juta

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 24 Mei – Lebih 100 kursus ditawarkan kepada warga Melaka menerusi National Training Week (NTW) 2023 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bermula 22 hingga 28 Mei ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM, Prof Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif berkata, NTW merupakan minggu kesedaran latihan besar-besaran yang diadakan julung kalinya di Melaka dan seluruh negara.

Katanya, NTW itu juga menghimpunkan pelbagai pihak, organisasi serta individu dari pelbagai latar belakang dan industri bagi mewujudkan peluang pembelajaran dan pembangunan kemahiran lebih luas.

“Dianggarkan penglibatan lebih 2,500 penyertaan mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan sepanjang tempoh NTW ini diadakan dengan nilai latihan RM10 juta.

“Di mana penyertaan terbuka kepada semua warga Melaka tanpa mengira usia dan antara bengkel yang ditawarkan adalah bengkel kebolehpasaran, forum keusahawanan teknikal dan pelbagai lagi.

“Penganjuran NTW ini juga yang pertama kali diadakan dengan kerjasama daripada Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mewakili Naib Canselor UTeM Prof, Ts Dr Massila Kamalrudin pada Majlis Pelancaran National Training Week (NTW) 2023 di Kampus Teknologi UTeM, di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem dan dihadiri Ketua Pegawai Strategi HRD Corp, Rony Ambrose Gobilee, Pengarah PERKESO, Abd Razak Omar dan Pengarah Projek Forum Keusahawanan Teknikal Wanita, Ts, Dr Nurul Hanim Razak serta kenamaan lain.

WhatsApp Image 2023-05-24 at 17.20.38
HEE Sem ditemani Dr. Sabri dan Rony ketika melawat pameran yang disediakan oleh HRD Corp pada Majlis Pelancaran NTW 2023, di Kampus Teknologi UTeM.

Mengulas lanjut, Dr. Sabri berkata dengan penganjuran bersama NTW, UTeM berharap universiti tersebut dapat diangkat menjadi universiti perintis bagi program tersebut pada masa akan datang.

“Menerusi jalinan kerjasama bersama HRD Corp dan PERKESO seperti sebelum ini benar-benar membantu dalam meningkatkan kebolehpasaran pelajar UTeM.

“Hal ini dibuktikan menerusi peningkatan kebolehpasaran pada tahun 2022 mencecah 96.4 peratus berbanding pada tahun 2021 dengan 91 peratus sahaja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2063
Kongsi :
Previous post Anwar harap LIMA ’23 perkukuh Malaysia sebagai hab serantau industri aeroangkasa, maritim
Next post NTW bakal jadi acara tahunan Melaka, lonjak kualiti pekerja mahir
Ubah saiz-+=