
OPERATOR KILANG MAUT KERETA TERBABAS BERHAMPIRAN SIMPANG AMPAT
ALOR GAJAH 21 Julai – Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya terbabas sendiri dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 218.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran susur keluar Simpang Ampat dekat sini, pagi tadi.
Mangsa, Siti Nurdini Azham, 25, bekerja sebagai operator kilang beralamat di Taman Bayam Indah, Lunas, Kedah, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat pendarahan di kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kejadian berlaku sekitar jam 8 pagi ketika mangsa memandu kereta jenis Perodua Axia dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Johor.
Katanya, siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas sendiri dan melanggar pembahagi jalan di sebelah kanan lebuh raya.
“Susulan itu, mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat yang dijadualkan jam 3 petang ini.
“Kenderaan mangsa telah dibawa ke Puspakom Rembia bagi tujuan pemeriksaan lanjut, manakala siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.