Sorting by

×

OPS ‘SELAMAT PAPA’: PREMIS JUAL ROKOK SELUDUP KENA GEMPUR

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

DUYONG 2 Ogos – Tindakan dua premis yang dipercayai menjual rokok seludup dan menawarkan harga jualan antara RM5 hingga RM7.50 jauh lebih rendah daripaxa harga pasaran membawa padah apabila diserbu dalam Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa), malam tadi.

Operasi yang diadakan di sekitar Duyong itu diketuai Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka bersama-sama beberapa agensi lain termasuk Lembaga Kenaf Dan Tembakau Negara (LKTN) Melaka, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, serbuan keatas restoran dan kedai menjual rokok elektronik itu dilakukan hasil risikan dilakukan agensi yang terbabit.

Beliau berkata, Ops Selamat PaPa merupakan aktiviti penguatkuasaan bagi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) antaranya memberi fokus bukan sahaja kepada pemantauan kesalahan kawasan larangan penjualan produk tembakau tetapi juga larangan penjualan dan promosi produk tembakau.

“Pemeriksaan mendapati dua premis ini ada menjual rokok yang dipercayai tidak membayar cukai atau rokok seludup, mereka juga dikesan menjual rokok kurang dari harga RM12. Ini menjadi satu kesalahan di bawah Akta 852.

“Hasil daripada operasi keatas dua premis itu sebanyak 450 kotak rokok dianggarkan bernilai RM3,055 telah dirampas dengan lima kompaun dibawah Seksyen 16 iaitu merokok di kawasan larangan dikeluarkan.

“Satu kompaun di bawah Seksyen 18 turut dikeluarkan kerana gagal mempamerkan tanda amaran dan kesemua itu bernilai RM1,500 selain dua denda turut dikenakan mengikut Seksyen 14 kerana menjual rokok dibawah harga RM12 dengan nilai RM40,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyertai Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr. Ruzita Mustaffa, di sekitar Duyong.

Menurut Hee Sem, sebanyak 701 operasi sudah dilaksanakan JKN Melaka sejak Akta 852 dikuatkuasa bermula dari 1 Oktober 2024 sehingga 1 Ogos dengan 28,980 premis diperiksa di seluruh Melaka.

“Hasil daripada pemeriksaan itu sebanyak 3,156 notis telah dikeluarkan dibawah Seksyen 47 Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dengan nilai kompaun berjumlah RM176,350.

“Antara kesalahan yang diambil tindakan penguatkuasaan adalah merokok di kawasan larangan, merokok bagi orang belum dewasa dan gagal mempamerkan tanda amaran larangan merokok,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

445
Kongsi :
Previous post MELAKA JOHAN FINSWIMMING TIGA TAHUN BERTURUT-TURUT
Next post PPSPM AKTIF TEROKA, REBUT PELUANG BAHARU PELANCONGAN