Orang Jasin hadir awal, tak ‘sabau’ nak terima vaksin – KM

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

JASIN 12 Jun – Sanggup datang awal pagi kerana tidak mahu terlepas mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dalam kalangan penduduk Jasin awal pagi mendapat pujian Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Beliau berkongsi reaksi gembira itu melalui hantaran menerusi Facebook (FB) rasminya ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Alamanda dan PPV Merlimau di Dewan Datuk Haji Ahmad Ithnin, Merlimau, hari ini.

“Saya gembira melihat sambutan orang Jasin yang hadir seawal pagi untuk menerima suntikan vaksin di PPV di Dewan Alamanda, Jasin.

“Dalam kunjungan singkat tadi, sempat saya berbual dengan Puan Zaleha Adam, 58, dari Asahan yang mengakui teruja menerima suntikan vaksin dos pertama hari ini,” tulisnya.

SULAIMAN bertanya khabar penerima vaksin ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Alamanda, Jasin dan PPV Merlimau di Dewan Datuk Haji Ahmad Ithnin, Merlimau hari ini.

Tambahnya, ketika berada di kedua-dua PPV berkenaan, pelbagai gelagat mencuit hati rakyat dapat dilihatnya.

“Gelak saya bila ‘dengau’ Encik Abu Bakar Ishak dari Sungai Rambai yang terkejut seolah-olah tak rasa bila dah kena suntik.

“Saya juga sempat berbual dengan Kapten (B) Mohd Zaini Zakaria dari Kampung Sebatu, ketika dia sedang menunggu giliran untuk divaksin.

“Begitu juga Puan Latifah Mat Deris dan Makcik Seliah Awang yang mengakui tak ‘sabau’ nak divaksin,” tulisnya lagi.

SULAIMAN melihat proses pemberian vaksin penerima ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Alamanda, Jasin dan PPV Merlimau di Dewan Datuk Haji Ahmad Ithnin, Merlimau hari ini.

Turut hadir dalam lawatannya itu adalah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM), Datuk Dr Ismail Ali, Pegawai Kesihatan Keluarga, Pejabat Kesihatan Daerah Jasin merangkap Penyelaras PPV Jasin Dr Norhaliza Ningal, dan Ketua Pusat Vaksin PPV Merlimau Dr Syed Ramzul Ihsan Syed Najmuddin.

Mengulas lanjut Sulaiman berkata, berdasarkan Laporan Vaksinasi Harian Negeri Melaka, sebanyak 8.49 peratus atau 59,548 orang yang sudah divaksin sehingga 6 Jun lalu.

“Apa tunggu lagi Orang Melaka, jom pakat ajak ahli keluarga, adik beradik, saudara mara dan jiran tetangga semua untuk suntikan vaksin COVID-19.

“Menjadi hasrat saya menjelang November kita dah selesai terima vaksin. Terima kasih semua frontliners dan sukarelawan yang bertugas!,” tulisnya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1128
Kongsi :
Previous post Wajar sambung ‘lockdown’, kes COVID-19 masih tinggi
Next post COVID: 5,793 kes baharu
Ubah saiz-+=