Padah ‘lumba haram’, empat pemandu ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDA HILIR 21 Feb. – Empat lelaki termasuk seorang anggota tentera ditahan selepas didapati terbabit lumba haram dalam Ops Cegah Samseng Jalanan, malam tadi.

Kesemua mereka berusia 25 hingga 31 tahun itu diberkas sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, berhampiran pejabat Jabatan Laut Malaysia, di sini.

Ketua JSPT negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya.

Ketua JSPT negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, dalam operasi sejam bermula jam 10.30 malam, keempat-empat pemandu dikesan memandu secara melulu dan membuat aksi ‘zig zag’ hingga membahayakan pengguna jalan raya lain, selain melanggar lampu isyarat merah dari Limbongan menghala ke Jalan Kota Syah Bandar.

Katanya, mereka memandu kereta Honda Civic 1.5 dan turut ditahan dua penumpang termasuk seorang wanita berusia 27 tahun.

Hasan Basri berkata keempat-empat pemandu itu dipercayai aktif kegiatan lumba haram di jalan raya, namun aktiviti itu terhenti berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

“Ketika pemeriksaan semua pemandu itu memberikan alasan keluar makan selepas PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dikuatkuasakan semalam (Jumaat).

“Sebelum ditahan, mereka dilihat memecut laju bagi menguji kehebatan kenderaan masing-masing

selain membuat aksi ‘zig-zag’ dan merempuh lampu merah.

“Semua pemandu itu ditahan untuk siasatan lanjut, manakala dua penumpang dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya ketika ditemui di IPD Melaka Tengah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, polis mengeluarkan 16 saman kepada pemilik kereta terbabit atas pelbagai kesalahan termasuk mengubah suai ekzos dan memandu laju dan menyita semua kenderaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam operasi sama, polis turut mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada dua pemandu dan seorang penumpang kerana merentas daerah dan negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1083
Kongsi :
Previous post PM Muhyiddin, Dr Noor Hisham terima suntikan vaksin COVID-19 Rabu ini.
Next post Kuantan kini Bandar Raya, Agong titah kesejahteraan rakyat diutamakan
Ubah saiz-+=