Sorting by

×

PANGGUNG BANGSAWAN, PENTAS MAGIS BUAT PENCINTA SENI, BUDAYA

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDARAYA MELAKA 6 Mei – Panggung Bangsawan Melaka bakal bergema dengan pementasan tiga naskhah teater yang mengangkat martabat seni, budaya dan warisan negeri bermula 23 Mei 2025 hingga Jun ini.

Tiga karya hebat itu adalah Teater Bangsawan Sahmura Empayar Melaka, TeaterTinta Runtuhan Bila Keris Berdenting Berbisik dan Teater Tradisional Tun Fatimah Srikandi Melaka.

Timbalan Pengerusi Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, teater berkenaan bakal dipentaskan pada tarikh berbeza dengan sentuhan magis pengarah tersohor, Lokman Ghani.

“Pementasan ini bukan sahaja menjadi sajian istimewa kepada rakyat Melaka, malah diharap dapat menarik minat pelancong dan peminat teater dari luar negeri.

“Saya mohon kerjasama media untuk membuat hebahan meluas kerana pementasan ini bukan hanya untuk warga Melaka, bahkan kita juga mengalu-alukan kehadiran pelancong dari Johor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan seluruh negara yang bercuti ke Melaka untuk sama-sama merasai keunikan teater bangsawan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pementasan teater berkenaan yang dirasmikan oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin di Panggung Bangsawan di sini, baru-baru ini.

Majlis sidang media tersebut turut menghimpunkan para penggiat seni, artis dan pasukan produksi yang terlibat dalam ketiga-tiga naskhah.

Khaidhirah yang juga Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri turut merakamkan penghargaan terhadap usaha dan dedikasi semua pihak yang menjayakan karya-karya tersebut.

“Saya sangat menghargai kerjasama semua, daripada produksi sehinggalah ke pengarah dan pelakon. Semoga usaha kita terus menyemarakkan seni warisan yang semakin dilupakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

747
Kongsi :
Previous post ANNISA’ AZZAHRAA, ANAK MELAKA HARUMKAN NAMA NEGARA DI SWITZERLAND
Next post JIWA SENI EZLINA