Pantai Rombang diwarnai Jalur Gemilang
PANTAI KUNDOR 29 Ogos – Bahang sambutan bulan kemerdekaan ke-65 semakin dirasai apabila kediaman di Kampung Pantai Rombang, di sini, dihias indah dengan Jalur Gemilang sejak dua minggu lalu.
Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di kampung berkenaan, hari ini mendapati pelbagai jenis hiasan dan konsep diketengahkan oleh pemilik kediaman.
Malah ada kediaman yang dihias umpama muzium dengan mempamerkan pakaian seragam tentera dan hiasan bunga raya menggunakan Jalur Gemilang.
Penduduk Sapiah Mahmud, 49, menghias rumahnya dengan konsep menghargai wira-wira negara yang berjuang mempertahankan kemerdekaan negara di sudut hadapan rumahnya.
“Saya dan suami mengambil masa kira-kira dua minggu untuk menyiapkan hiasan, konsep kami mudah, tidak mahu sarat dengan pelbagai hiasan.
“Pakaian seragam saya pinjam daripada anak yang berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) manakala seorang lagi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Buat julung kali pertandingan Rumah Ceria Merdeka ini dianjurkan, saya bersemangat untuk ambil bahagian, malah memang minat saya menghias rumah,” katanya.
Sementara itu seorang lagi penduduk, Fatimah Abdul, 49, berkata dia mengambil keputusan untuk menyertai pertandingan itu pada saat akhir.
“Konsep hiasan saya menggunakan apa sahaja yang ada, paling senang adalah menggunakan buluh dan barangan kitar semula.
“Saya masuk pertandingan ini saat akhir kerana ingin memeriahkan lagi suasana kampung, bersemangat apabila melihat jiran sibuk hias rumah masing-masing,” katanya.
Suri rumah itu berharap pertandingan berkenaan diteruskan pada tahun akan datang dengan tawaran hadiah lebih menarik.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.