Paramedik Komuniti ditempatkan di ‘hotspot’ pelancongan

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

LENDU 14 Disember – Perhidmatan Paramedik Komuniti yang sebelum ini ditubuhkan di setiap kampung akan diperluaskan di kawasan tumpuan pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata sekurang-kurangnya 10 sukarelawan atau maksimumnya 20 orang Paramedik Komuniti akan ditugaskan di beberapa kawasan tumpuan pelancong, antaranya di Menara Taming Sari, kawasan muzium, Melaka River Cruise (MRC) dan Zoo Melaka.

Katanya, sukarelawan itu akan ditempatkan di lokasi tertentu pada waktu puncak terutama pada hujung minggu bagi memberi bantuan kecemasan awal kepada pelancong mahupun pengunjung yang mengalami masalah kesihatan.

“Setiap lokasi ini akan ada dua orang sukarelawan yang akan bertugas secara tukar ganti, maknanya mereka tidak berada di kawasan itu sehingga malam sebaliknya bertukar ganti.

“Kalau mereka bertugas bermula 8 pagi, habis jam 5 petang, dan kemudian diganti orang lain yang masuk jam 5 petang dan berakhir jam 10 malam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Hari Bertemu Rakyat Kerajaan Negeri Melaka Parlimen Masjid Tanah 2023 di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Ab Rauf berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah memutuskan pemilihan sukarelawan Paramedik Komuniti akan dilakukan oleh Dr. Muhamad Akmal.

“Beliau akan menerajui dan menilai sukarelawan yang layak dilatih untuk menjadi sebahagian daripada Paramedik Komuniti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

927
Kongsi :
Previous post Hari Bertemu Rakyat akan diperluas tahun depan – KM
Next post COVID-19: KKM keluar arahan dos penggalak ketiga dalam masa terdekat
Ubah saiz-+=