Paramedik Komuniti inisiatif percuma untuk rakyat Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

TANJUNG BIDARA 3 Mac – Inisiatif Paramedik Komuniti yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2024 Negeri Melaka, Disember lalu, antara teras dalam menyantuni denyut nadi rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi insiatif itu Kerajaan Negeri akan melatih sukarelawan yang akan ditempatkan di kesemua 334 kampung seluruh negeri bagi memberikan bantuan perubatan sekiranya berlaku kes kecemasan.

Katanya, secara keseluruhan lebih 1,200 sukarelawan akan dilatih oleh St John Ambulans dan Kementerian Kesihatan Malaysia dengan setiap kampung akan ditempatkan tiga orang Paramedik Komuniti.

“Kesemua Paramedik Komuniti ini akan dibekalkan kit kecemasan bernilai RM1,500 yang lengkap dengan pelbagai peralatan untuk memberi bantuan kecemasan awal.

“Latihan untuk Paramedik Komuniti ini akan bermula selepas Ramadan dan ia akan berkonsepkan sukarela, namun mereka akan mendapat sumbangan (insentif) daripada bantuan yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Media Melaka Bersama YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Bin Yusoh Ketua Menteri Melaka di Villa d’Acqua, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, selepas Paramedik Komuniti, Kerajaan Negeri merancang akan mewujudkan Ambulans Komuniti yang akan ditempatkan di Japerun untuk membantu membawa pesakit mendapatkan rawatan di hospital.

“Untuk merealisasikan perkara itu, kita akan membuka peluang kepada sesiapa untuk menderma di setiap Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya inisiatif kebajikan untuk rakyat ini dapat kita perluaskan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1463
Kongsi :
Previous post Semua boleh jadi ejen jual cenderamata TMM2024
Next post KWSP umum dividen 5.50 peratus bagi simpanan konvensional. 5.40 peratus simpanan syariah
Ubah saiz-+=