Semua boleh jadi ejen jual cenderamata TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

TANJUNG BIDARA 3 Mac – Kerajaan Negeri bakal membuka peluang kepada semua pihak untuk menjadi ejen menjual cenderamata Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tawaran itu dibuka untuk semua rakyat Melaka, tidak kiralah peniaga kecil dan sebagainya bagi menambah pendapatan sempena tahun penting pelancongan negeri.

Kata Ab Rauf, menerusi penjualan cenderamata itu, ia dijangka akan membawa pulangan hasil berjumlah RM50 juta bukan sahaja untuk Kerajaan Negeri, bahkan boleh dinikmati rakyat.

“Dengan cara ini, semua boleh menjana pendapatan seperti contoh penjualan t-shirt TMM2024, ‘reseller’ boleh membeli dengan harga tertentu dan menjualnya pada harga yang ditetapkan.

“Bukan hanya kepada ‘reseller’, malah pembeli juga akan mendapat tempias kerana melalui pembelian cenderahati itu, mereka berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah lumayan yang ditawarkan sepanjang TMM2024.

“Ia termasuklah 12 buah kereta, 22 motosikal dan pelbagai hadiah menarik yang lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Media Melaka Bersama YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Bin Yusoh Ketua Menteri Melaka di Villa d’Acqua, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan lain-lain kenamaan.

Ketua Menteri berkata, butiran lanjut mengenai cenderahati TMM2024 itu akan dibuat pada majlis pelancarannya yang dijangka pada bulan depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

485
Kongsi :
Previous post Hidangan ikhlas ‘cef mata satu’ tambat hati juri
Next post Paramedik Komuniti inisiatif percuma untuk rakyat Melaka
Ubah saiz-+=