
PRN MELAKA: PENIAGA IDAM EKOSISTEM PERNIAGAAN LEBIH BAIK
AYER KEROH 8 Oktober – Kos operasi yang lebih terkawal, peluang perniagaan yang lebih luas dan sokongan berterusan kepada usahawan tempatan antara aspirasi peniaga di Melaka terhadap Kerajaan Negeri yang bakal menerajui pentadbiran selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Bagi peniaga kafe, Norella Jantan, 56, kos utiliti khususnya elektrik menjadi antara cabaran utama yang perlu ditanggung secara berterusan selain kadar sewaan premis.
“Peningkatan kos operasi memberi tekanan kepada peniaga untuk memastikan perniagaan terus bertahan, terutama apabila perbelanjaan asas seperti utiliti dan sewaan perlu dibayar setiap bulan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Justeru, dia berharap Kerajaan Negeri yang diberi mandat mentadbir Melaka selepas PRN dapat terus memberi perhatian kepada kepentingan rakyat, khususnya peniaga yang menjadi antara penggerak aktiviti ekonomi setempat.
Nada sama turut disuarakan seorang lagi peniaga, Muhammad Zulhafiz Azhar, 33, yang berharap lebih banyak peluang perniagaan dapat dibuka kepada usahawan tempatan menerusi sokongan dan kemudahan yang dapat membantu mereka mengembangkan perniagaan.
“Sebagai peniaga dan usahawan di Melaka, harapan kami sempena PRN Negeri Melaka adalah agar negeri ini terus aman, stabil dan mempunyai suasana perniagaan yang lebih baik,” katanya.
Katanya, sokongan berterusan kepada usahawan tempatan bukan sahaja dapat membantu mereka mengembangkan perniagaan, malah berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Menurutnya, peniaga turut mengharapkan kos menjalankan perniagaan dapat dikawal dan peluang yang adil diberikan kepada semua golongan usahawan supaya mereka dapat terus berkembang dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
“PRN datang dan pergi tetapi harapan kami untuk melihat negara dan negeri terus maju, selain ekonomi rakyat terus berkembang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

