KUBUR DIGITAL: CARI PUSARA KELUARGA DI HUJUNG JARI

Masa Membaca:5 Minit, 43 Saat

AYER KEROH 8 Oktober – Tidak lagi perlu berpusing mencari pusara, bertanya kepada orang lama atau hanya bergantung kepada ingatan, sebaliknya waris boleh mengenal pasti lokasi kubur ahli keluarga dengan lebih mudah menerusi sistem Kubur Digital.

Inisiatif diilhamkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh itu bukan sahaja memodenkan pengurusan tanah perkuburan Islam, malah menjadi satu bentuk ‘peta warisan keluarga’ yang membolehkan lokasi pusara terus dikesan walaupun generasi silih berganti.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, menerusi inisiatif itu plot kubur dinomborkan secara digital bagi memudahkan proses kenal pasti kubur untuk memudahkan waris.

Jelasnya, menerusi inisiatif itu waris dapat mengesan dengan lebih tepat pusara ahli keluarga menerusi data si mati.

“Setakat ini, lebih 2,000 kubur telah menerima nombor digital sejak inisiatif ini diperkenalkan,” katanya.

5 TANAH PERKUBURAN JADI PERINTIS

Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, Kubur Digital merupakan antara penambahbaikan dalam pengurusan tanah perkuburan Islam yang sedang diperluaskan secara berperingkat di Melaka.

Katanya, setakat ini sekurang-kurangnya empat tanah perkuburan dilengkapkan dengan sistem berkenaan bagi memudahkan pengurusan rekod serta pencarian maklumat oleh waris pada masa akan datang.

Menurutnya, antara cabaran utama pelaksanaan adalah proses mengenal pasti serta mengesan waris bagi setiap rekod kubur yang dikumpulkan.

“Yang paling mencabar sebenarnya ialah mengesan waris tetapi alhamdulillah dengan kerjasama pelbagai jabatan, proses ini dapat dilaksanakan dengan lebih baik,” katanya.

Jelas beliau, Kampung Krubong menjadi projek rintis inisiatif itu apabila semua plot kubur telah selesai dicerap dan dinomborkan, selain empat lagi lokasi kini berada dalam proses pengumpulan maklumat iaitu Kampung Hilir membabitkan 427 kubur, Kampung Seri Tambak (319), Kampung Seri Jeram (479) dan Kampung Pulau Tengah (427).

Secara keseluruhan, sebanyak 556 lot tanah perkuburan Islam dikenal pasti di seluruh Melaka membabitkan keluasan kira-kira 283 hektar.

Rahmad berkata, usaha pendigitalan itu bukan hanya melibatkan kubur baharu, sebaliknya Kerajaan Negeri turut berusaha mengesan dan merekod maklumat perkuburan lama yang sebahagiannya berusia puluhan tahun hingga lebih satu abad.

“Untuk kubur yang agak baharu, mungkin bawah 10 tahun, agak mudah. Tetapi kubur yang sudah 40, 50, 60 hingga 100 tahun memang agak sukar.

“Tapi kita terima itu sebagai satu cabaran. Kita cari juga maklumat, kita dapatkan berapa peratus yang kita boleh dapat dan kita buat,” katanya.

Menurutnya, maklumat yang berjaya diperoleh akan direkodkan terlebih dahulu, manakala data yang masih sukar dikenal pasti akan diusahakan secara berperingkat.

PASTIKAN REKOD KELUARGA TIDAK HILANG

Sementara itu, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad berkata, sekitar 40 peratus maklumat pendaftaran kubur berjaya diperoleh menerusi projek rintis Kubur Digital.

Katanya, antara cabaran utama pelaksanaan inisiatif itu ialah kesukaran mendapatkan maklumat mengenai kubur lama selain waris yang tidak lagi diketahui atau sukar dikesan.

Menurut Shaifulfazlee, bagi menangani perkara itu MAIM bekerjasama dengan jawatankuasa masjid yang menguruskan tanah perkuburan untuk mendapatkan maklumat daripada waris.

Katanya, waris yang mengetahui lokasi pusara ibu bapa, datuk, nenek atau ahli keluarga mereka boleh tampil memberikan maklumat bagi membantu melengkapkan pangkalan data berkenaan.

“Inisiatif ini penting kerana terdapat kubur lama yang tanda nisannya sudah pudar atau rosak, malah ada pusara yang selama ini hanya dikenal pasti berdasarkan tanda tertentu seperti pokok.

“Apabila maklumat ini dapat dikumpulkan, kita boleh mengenal pasti lokasi kubur dengan lebih sistematik dan memudahkan generasi akan datang menziarahi pusara nenek moyang mereka.

“Inisiatif ini bukan sahaja soal teknologi tetapi usaha memastikan rekod dan sejarah keluarga tidak hilang begitu sahaja,” katanya.

WARIS HANYA PERLU TAIP NAMA

Di Tanah Perkuburan Islam Kampung Krubong, manfaat sistem itu sudah mula dirasai apabila setiap pusara ditandakan dengan nombor khas yang dipadankan dengan rekod digital.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Krubong, Zamri Mat Sit, berkata sistem itu amat membantu terutama kepada waris yang tinggal jauh atau generasi akan datang yang mungkin sukar mengenal pasti lokasi sebenar pusara ahli keluarga.

“Kalau si mati sudah tiada waris dekat sini, anak cucu hanya perlu masukkan nama atau nombor kad pengenalan dan sistem akan membawa mereka terus ke lokasi kubur,” katanya.

Katanya, Tanah Perkuburan Islam Krubong melibatkan tiga kariah dan kawasan sedia ada sebelum ini sudah penuh berikutan kepadatan penduduk di kawasan taman serta kampung sekitar.

Menurutnya, antara cabaran awal pelaksanaan sistem itu ialah persepsi masyarakat yang menganggap Kubur Digital sesuatu yang pelik dan tidak diperlukan.

Namun, selepas fungsi dan manfaat sistem diterangkan kepada penduduk, penerimaan mula berubah positif.

Katanya, sistem itu turut membantu sekiranya berlaku kerosakan batu nisan atau tanah mendap yang menyebabkan lokasi kubur sukar dikenal pasti kerana waris masih boleh mengesan lokasi sebenar melalui sistem menggunakan nama dan nombor kad pengenalan si mati.

PENGGALI KUBUR SAMBUT BAIK

Bagi penggali kubur Kampung Krubong, Rosli Mat Sit, 52, atau lebih dikenali sebagai ‘Pak Ngah’, Kubur Digital turut meringankan tugasnya yang selama ini banyak bergantung kepada ingatan untuk membantu waris mencari lokasi pusara.

Hampir 19 tahun menjalankan tugas menguruskan pengebumian, dia berkata pelbagai situasi pernah berlaku termasuk pertikaian melibatkan lokasi kubur dan pemasangan batu nisan.

Rosli berkata sistem Kubur Digital banyak membantu kerana setiap lokasi kubur kini lebih mudah dikenal pasti dan direkodkan dengan lebih tersusun.

Sebelum ini, katanya, ramai waris datang bertanyakan lokasi pusara ahli keluarga sehingga ada ketikanya dirinya sendiri sukar mengingati semua lokasi kubur.

“Orang panggil saya ‘Pak Ngah’, tanya kubur ayah mereka dekat mana, kubur keluarga belah mana. Saya pun manusia biasa, tidak semua kubur saya boleh ingat.

“Tetapi sekarang Alhamdulillah, bila ada sistem kubur digital ini kerja saya jadi lebih ringan kerana waris boleh terus semak lokasi kubur,” katanya.

Menurutnya, sistem itu juga membantu mengelakkan pertikaian apabila berlaku kerosakan kepuk atau batu nisan yang boleh menyebabkan waris tersalah mengenal pasti kubur.

“Ada juga kes sampai bertekak sebab masing-masing kata itu kubur ahli keluarga mereka.

“Kalau ikut prosedur, perkara itu bukan mudah sebab perlu dirujuk kepada pihak berkaitan termasuk masjid dan MAIM, Jadi lebih baik kita elakkan kekeliruan awal-awal,” katanya.

BUKAN SEKADAR TEKNOLOGI

Di sebalik QR, nombor tag, koordinat dan pangkalan data, Kubur Digital sebenarnya membawa satu tujuan yang lebih besar iaitu memastikan rekod dan lokasi pusara tidak hilang ditelan masa.

Hari ini, seorang anak mungkin masih boleh bertanya kepada ibu bapanya mengenai lokasi pusara datuk atau nenek.

Namun, apabila generasi terus berganti, tidak semua maklumat itu akan kekal dalam ingatan.

Di sinilah rekod digital menjadi penting. Setiap maklumat yang berjaya dikumpulkan hari ini boleh menjadi rujukan kepada anak cucu pada masa hadapan.

Dengan sasaran pencarian plot kubur dalam tempoh kurang 10 minit, sistem itu bukan sahaja berpotensi memudahkan urusan ziarah, malah membantu pihak masjid dan agensi agama menguruskan tanah perkuburan secara lebih tersusun dan sistematik.

Dengan 556 lot tanah perkuburan Islam dikenal pasti di seluruh Melaka membabitkan kira-kira 283 hektar, usaha pendigitalan ini sememangnya memerlukan masa dan kerjasama waris, masjid serta agensi agama.

Itulah nilai sebenar Melaka Sayang Rakyat. Bukan sekadar membawa teknologi ke tanah perkuburan, tetapi memastikan jejak insan yang telah pergi terus dapat ditemukan oleh generasi yang masih hidup.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

447
Kongsi :
Previous post JEREBU: MELAKA TUTUP SEKOLAH JIKA IPU CECAH 200