
MeSRa: DARI ILMU KE PASARAN, MELAKA LAHIR USAHAWAN BERDAYA SAING
AYER KEROH 8 Oktober – Kerajaan Negeri Melaka memperkukuh ekosistem keusahawanan menerusi pelbagai program pembangunan modal insan dan latihan, dengan lebih 4,300 usahawan menerima manfaat daripada inisiatif bernilai RM1.2 juta sepanjang tiga tahun pentadbiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Usaha berkenaan dilaksanakan di bawah payung Melaka Sayang Rakyat (MeSRa), sebagai antara pendekatan Kerajaan Negeri membantu peniaga dan usahawan tempatan meningkatkan kemahiran, memperluas pasaran serta kekal berdaya saing berdepan perubahan ekonomi semasa.
Sepanjang tempoh berkenaan, lebih 15 program berimpak tinggi dilaksanakan dengan memberi tumpuan bukan sahaja kepada pengukuhan perniagaan sedia ada, malah penyediaan laluan kepada generasi baharu untuk menceburi bidang keusahawanan.
Menurut Ketua Menteri, sebuah pusat sehenti turut disediakan Kerajaan Negeri bagi memudahkan rakyat yang berminat dalam bidang keusahawanan mendapatkan khidmat nasihat, perkhidmatan agensi berkaitan serta akses kepada modal.
“Pusat sehenti ini turut dilengkapi ruang latihan digital, studio kreatif dan makmal inovasi yang disediakan Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bagi membolehkan usahawan memanfaatkan teknologi terkini untuk meneroka pasaran tempatan, nasional seterusnya antarabangsa,” katanya.
Pendekatan berkenaan dilihat penting bagi mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih tersusun apabila pelbagai perkhidmatan dan sokongan berkaitan keusahawanan dapat diakses secara berpusat di bawah satu bumbung.
Pada masa sama, aspek peningkatan kemahiran turut diberi perhatian menerusi penglibatan agensi seperti TEKUN yang menganjurkan Seminar Asas Keusahawanan dengan penyertaan 694 usahawan.
Keperluan menguasai pemasaran digital pula diterapkan menerusi Program E-Usahawan Modular TikTok TEKUN yang melatih 88 usahawan meneroka penggunaan platform digital bagi memperluas capaian dan pasaran perniagaan.
Usaha melahirkan pelapis baharu turut diteruskan menerusi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), dengan peruntukan RM240,000 disalurkan kepada 13 belia pada 2025 sebelum ditingkatkan kepada RM300,000 bagi membabitkan 18 belia pada 2026.
Perkembangan itu menunjukkan pembangunan keusahawanan negeri tidak hanya memberi tumpuan kepada bantuan modal, sebaliknya merangkumi aspek ilmu, bimbingan, pemasaran digital dan pembangunan bakat baharu.
Menerusi pendekatan bersepadu berkenaan, Kerajaan Negeri menyasarkan lebih ramai usahawan tempatan mempunyai keupayaan untuk mengembangkan perniagaan, menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran serta meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga.
Inisiatif itu selari dengan aspirasi MeSRa yang menekankan pendekatan lebih dekat dengan rakyat, termasuk memastikan golongan peniaga dan usahawan mendapat akses kepada sokongan yang diperlukan untuk mengembangkan potensi perniagaan masing-masing.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

