
MELAKA ANGKAT KOPERASI KE ARUS PERDANA, BUKAN LAGI EKONOMI KELAS KEDUA
BANDA HILIR 8 Oktober – Dengan keanggotaan melebihi 177,000 orang, gerakan koperasi di Melaka terus diperkasa sebagai antara pemacu ekonomi rakyat menerusi peruntukan RM700,000 yang disalurkan Kerajaan Negeri sepanjang tempoh tiga tahun.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi pelbagai inisiatif dan insentif bersasar bagi memperkukuh keupayaan koperasi, termasuk Bantuan Pembangunan Ekonomi Koperasi Kariah Masjid Negeri Melaka, Bantuan Pemerkasaan Koperasi Kluster Mikro serta Bantuan Pemerkasaan Koperasi Pelbagai Kluster atau E-Perkasa.
“Melalui inisiatif-inisiatif ini lebih 50 buah koperasi telah menerima manfaat.
“Daripada kesinambungan itu usaha tersebut diteruskan menerusi penyerahan cek cura kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk disalurkan kepada 16 buah koperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 2026 Peringkat Negeri Melaka di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; mantan Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Mohd Marzuki Yasoa’ dan Pengarah SKM Negeri Melaka, Mustafa Kamal Mohd Nor.
Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri mahu setiap peruntukan yang disalurkan menghasilkan impak kepada pembangunan perniagaan dan keupayaan koperasi, bukannya sekadar direkodkan sebagai angka bantuan.
“Bagi Kerajaan Negeri, bantuan yang diberikan tidak boleh sekadar berhenti sebagai angka peruntukan tetapi kita mahu setiap ringgit yang disalurkan menjadi pemangkin kepada sesuatu yang lebih besar.
“Daripada modal kepada perniagaan, daripada perniagaan kepada pasaran dan akhirnya daripada pertumbuhan itu lahir manfaat yang lebih besar kepada anggota,” katanya.
Beliau berkata, tumpuan seterusnya adalah memperluas kekuatan sedia ada dengan membantu koperasi berskala kecil berkembang, selain menggalakkan koperasi yang lebih kukuh meneroka pasaran baharu.
“Kerana bagi saya, koperasi bukan ekonomi kelas kedua. Koperasi adalah sebahagian daripada kekuatan ekonomi rakyat yang mesti kita angkat ke arus perdana.
“Justeru, fokus kita kini perlu beralih kepada usaha membesarkan lagi kekuatan ini dengan yang kecil kita bantu supaya lebih berkembang manakala yang sudah kukuh kita dorong meneroka pasaran baharu dan yang telah berjaya kita bawa melangkah lebih jauh daripada gelanggang yang ada hari ini,” katanya.
Menurutnya, jumlah keanggotaan koperasi di Melaka yang kini melebihi 177,000 orang membuktikan gerakan berkenaan mempunyai asas yang besar untuk terus dikembangkan sebagai sebahagian daripada kekuatan ekonomi rakyat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

