
516 KOPERASI MELAKA KUMPUL ASET RM608 JUTA
BANDA HILIR 9 Oktober – Gerakan koperasi Melaka terus menunjukkan perkembangan positif apabila 516 koperasi berdaftar di negeri ini merekodkan aset terkumpul melebihi RM608 juta dan jumlah perolehan RM186 juta.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu membuktikan gerakan koperasi di Melaka mempunyai potensi besar untuk menjadi sebahagian daripada kekuatan ekonomi rakyat, dengan jumlah keanggotaan kini melebihi 177,000 orang.
Katanya, jumlah perolehan koperasi turut meningkat RM3.86 juta berbanding tahun sebelumnya, menunjukkan prestasi positif gerakan berkenaan dalam mengembangkan aktiviti ekonomi.
“Di Melaka sahaja, gerakan koperasi telah menjangkau sebanyak 516 buah koperasi berdaftar, melibatkan lebih 177,000 anggota.
“Lebih membanggakan, keseluruhan gerakan ini telah memiliki aset terkumpul melebihi RM608 juta, dengan jumlah perolehan mencecah RM186 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 2026 Peringkat Negeri Melaka di sebuah hotel, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; mantan Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Mohd Marzuki Yasoa’ dan Pengarah SKM Negeri Melaka, Mustafa Kamal Mohd Nor.
Menurut Ab Rauf, pencapaian itu wajar menjadi sumber inspirasi kepada gerakan koperasi lain untuk terus berkembang dan memperkukuh peranan dalam ekonomi negeri.
Katanya, pengiktirafan terhadap koperasi yang menunjukkan prestasi baik perlu menjadi pencetus kepada lebih banyak koperasi untuk meningkatkan keupayaan masing-masing.
“Jadikan pengiktirafan ini sebagai pencetus untuk melangkah lebih jauh dan membuka jalan supaya lebih banyak koperasi di Melaka turut mampu berdiri sama tinggi.
“Perjalanan gerakan koperasi ini tidak digerakkan oleh satu pihak sahaja. Untuk itu saya merakamkan penghargaan kepada pihak SKM serta seluruh rakan strategik yang terus membimbing, membuka ruang dan berdiri bersama koperasi di negeri ini untuk berkembang lebih jauh,” katanya.
Pada majlis itu, Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Berhad dinobatkan sebagai penerima tempat pertama Anugerah Koperasi Terbaik Negeri Melaka 2026.
Tempat kedua pula dimenangi Koperasi Pengusaha Pekerja Malaysia Berhad, manakala Koperasi Peserta-Peserta FELCRA Ramuan China Melaka Berhad menduduki tempat ketiga.
Selain itu, Koperasi Baba Nyonya Melaka Berhad pula menerima Anugerah Koperasi Komuniti Terbaik Tahun 2026 diikuti Anugerah Koperasi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Terbaik Tahun 2026 yang dimenangi Koperasi Merlimau Melaka Berhad, manakala Koperasi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghafar Baba Melaka Berhad menerima Anugerah Koperasi Sekolah Terbaik Tahun 2026.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

