BERMALAM DI MUZIUM: PELAJAR JADI KURATOR, SELONGKAR RAHSIA WARISAN

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

DUYONG 9 Oktober – Bukan sekadar bermalam dan meneroka ruang pameran, 79 pelajar daripada dua sekolah menengah di Melaka berpeluang menyelami dunia permuziuman menerusi pengalaman mengkaji koleksi, melakukan konservasi seramik dan menghasilkan penulisan berkaitan bahan warisan.

Pengalaman itu diterapkan menerusi program Bermalam Di Muzium yang dianjurkan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) di Muzium Hang Tuah, di sini, baru-baru ini.

Penolong Kurator PERZIM, Nur Azeera Jamaluddin berkata, pendekatan berasaskan pengalaman itu penting bagi memberi gambaran lebih dekat kepada generasi muda mengenai skop tugas seorang kurator yang jauh lebih luas daripada sekadar mengurus atau menjaga muzium.

“Seramai 79 pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal dan SMK Tun Haji Abdul Malek menyertai program ini.

“Daripada program ini, mereka bukan sahaja dapat meneroka muzium tetapi turut memahami peranan seorang kurator dengan lebih dekat kerana tugasnya bukan semata-mata sebagai ‘penjaga’ muzium,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, program tahun ini turut memperkenalkan aktiviti konservasi seramik yang memberi peluang kepada peserta mempelajari sendiri proses mengenal pasti, menyusun dan mencantum semula serpihan seramik.

Katanya, pengalaman berkenaan membolehkan peserta memahami bahawa setiap artifak yang dipamerkan melalui proses penyelidikan dan pemuliharaan sebelum dapat dipertontonkan kepada masyarakat.

“Peserta turut diberi peluang meneroka koleksi muzium sebelum memilih bahan untuk dikaji dan menghasilkan penulisan berkaitan koleksi berkenaan.

“Pendekatan ini memberi mereka pengalaman secara langsung bagaimana sesuatu bahan warisan dikenal pasti, dikaji dan dipelihara,” katanya.

Selain aktiviti konservasi, peserta turut menyertai kuiz Kahoot berkaitan sejarah Malaysia anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia, aktiviti ikatan setanjak dan sampin serta penghasilan kit STEM secara DIY.

Azeera berkata, program yang diadakan sempena sambutan Hari Malaysia itu mendapat sambutan positif daripada pihak sekolah, dengan penyertaan tahun ini lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Program Bermalam Di Muzium turut dilaksanakan secara serentak di 32 muzium di seluruh negara pada 15 hingga 16 September lalu.

Di Melaka, program berkenaan menawarkan penyertaan serendah RM30, sekali gus memberi peluang kepada pelajar khususnya anak Melaka merasai sendiri pengalaman mengikuti aktiviti warga muzium dalam suasana pembelajaran yang santai, interaktif dan berasaskan pengalaman.

Pendekatan itu bukan sahaja memperkenalkan muzium sebagai ruang pameran sejarah, malah membuka perspektif baharu kepada generasi muda mengenai bidang permuziuman termasuk penyelidikan, konservasi, dokumentasi dan pengurusan koleksi warisan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

533
Kongsi :
Previous post 516 KOPERASI MELAKA KUMPUL ASET RM608 JUTA