Hidangan ikhlas ‘cef mata satu’ tambat hati juri

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

BANDARAYA MELAKA 3 Mac – Hilang keupayaan melihat sebelah mata bukan penghalang bagi Adam Goh Koh Ming, 49 muncul juara Pertandingan Dapur Panas Mualaf Peringkat Kebangsaan 2024 di pesisir Sungai Melaka, di sini, semalam.

Dia bersama rakan sepasukannya Mohd Firdaus Wong Abdullah, 52, yang mewakili Negeri Melaka berjaya menambat hati juri dengan menu Nasi Goreng Cina dan Sayur Baby Kailan Petola Masak Sos Tiram.

Menurut Adam, dia kehilangan mata kiri selepas terbabit kemalangan jalan raya kira-kira 23 tahun lalu.

Meskipun tidak lagi normal seperti insan lain, namun dia menganggap kehilangan upaya itu suatu keistimewaan dari Allah S.W.T.

Berkongsi cerita, Adam dan Mohd Firdaus berkata, mereka bersetuju menyertai pertandingan itu tanpa sebarang persiapan rapi dan hanya berbekalkan kebolehan masing-masing.

Berbekalkan pengalaman sebagai tukang masak sejak usia 16 tahun, Adam berkata, mereka tidak ada sebarang rahsia tertentu, sebaliknya hanya berbekalkan prinsip masak dengan hati.

“Meskipun daya penglihatan saya kurang 50 peratus, tapi saya mampu melihat apa di depan saya dengan terang dan kami memasak dengan hati yang ikhlas serta berserah pada Allah S.W.T,” ujarnya yang memasuki tahun keenam sebagai mualaf.

Manakala Mohd Firdaus yang bekerja sebagai penjual barangan kesihatan berkata, dia hanya menggunakan kemahirannya yang pernah menjadi pembantu tukang masak satu masa dahulu untuk membantu rakannya.

“Saya hanya ikut arahan daripada Adam, di mana dalam pasukan ini meskipun hanya kami berdua namun dia adalah ketua yang memberi arahan untuk masak dan akhirnya kami memilih masakan mudah namun memberi kesan mendalam.

“Jadi kami namakan hidangan kami sebagai ‘Membawa Makna Positif’, dan Alhamdulillah, ia benar-benar positif seterusnya kami meraih kemenangan,” jelasnya yang sudah 22 tahun memeluk Islam.

Kemenangan menewaskan 13 pasukan lain dari seluruh negara itu melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta sijil.

Sementara itu, ketua juri, Razman Rahman memaklumkan saingan di antara pasukan bertanding cukup sengit, di mana kedudukan juara dan naib juara juga hanya dipisahkan dengan jurang lima peratus markah keseluruhan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

590
Kongsi :
Previous post Laporan berita media Melaka antara terbaik dalam negara – KM
Next post Semua boleh jadi ejen jual cenderamata TMM2024
Ubah saiz-+=