Pasar Basah Kuala Sungai Baru dijangka beroperasi Julai depan

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

KUALA LINGGI 26 April – Pasar Basah Kuala Sungai Baru yang berwajah baharu bakal beroperasi menjelang Julai hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Rosli Abdullah berkata, projek menaik taraf bangunan itu giat dijalankan sejak Februari lalu dan ia bakal membawa limpahan ekonomi dan tarikan pelancongan buat penduduk sekitar.

Beliau berkata, kerja-kerja pemulihan dan penyusunan semula gerai jualan barangan basah dan barangan dapur sedang dinaik taraf bagi memastikan kelancaran dan operasi tidak mengganggu lalu lintas di sekitar persimpangan kawasan berkenaan.

“Apabila sudah dibaik pulih ia secara tidak langsung kita susun semula lot-lot peniaga pasar agar tidak lagi berniaga di kaki lima di mana sebelum ini telah mengganggu susunan lot parkir mengakibatkan kesesakan pada waktu puncak.

“Perkara ini mengakibatkan banyak kenderaan pengunjung yang datang terpaksa memarkir kenderaan di bahu jalan dan menjadikan jalan dua hala itu menjadi sempit lebih-lebih lagi kedudukannya berhampiran dengan persimpangan membuatkan gangguan trafik berlaku.

“Alhamdulillah sudah lama kita memohon untuk menaik taraf bangunan pasar ini, akhirnya ia dapat dilaksanakan sekali gus membawa imej baharu pasar basah yang cukup terkenal dengan tarikannya tersendiri dan mampu merancakkan lagi pelancongan dan ekonomi setempat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan lawatan menyantuni peniaga di pasar berkenaan.

photo_2023-04-26_17-03-16
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Rosli Abdullah ketika mengadakan lawatan di Pasar Basah Kuala Sungai Baru. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengulas lanjut, Rosli berkata kira-kira 20 lot kedai membabitkan jualan ikan, ayam, sayur-sayuran dan makan kering yang disusun dengan lebih sistematik dan teratur.

Ujarnya, beberapa perancangan lain akan dilaksanakan sejurus selepas selesai projek membaik pulih di kawasan itu seperti penyediaan tapak parkir khas dan tambahan lot kedai pada masa akan datang.

“Jualan harga yang murah dan berpatutan disamping produk basah yang segar bakal dikunjungi penduduk luar dari kawasan ini terutama ada yang datang dari Tampin, Alor Gajah, Masjid Tanah, Putrajaya, Negeri Sembilan serta dari kawasan lain.

“Kawasan ini akan sesak terutama pada hujung minggu malah difahamkan ramai penginap dan pengusaha chalet di kawasan pantai berhampiran sanggup datang ke pasar ini mendapatkan keperluan di sini,”katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4738
Kongsi :
Previous post Latihan simulasi kebakaran uji kesiapsiagaan pelajar
Next post Ziarah Aidilfitri berakhir tragedi, cucu maut di kolam renang rumah datuk
Ubah saiz-+=