Sorting by

×

PASARAN HARTANAH MELAKA TERUS CEMERLANG, TRANSAKSI CECAH RM6.69 BILION

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BANDARAYA MELAKA 1 Ogos – Melaka terus cemerlang dalam pasaran hartanah apabila merekodkan 20,321 transaksi hartanah bernilai RM6.69 bilion pada 2024, sekali gus mencatat pertumbuhan lebih 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, lebih membanggakan, 67.2 peratus daripada jumlah transaksi itu melibatkan subsektor kediaman dengan lebih 70 peratus terdiri daripada Rumah Mampu Milik (RMM) berharga RM300,000 ke bawah, manakala 21.79 peratus lagi melibatkan unit kediaman antara RM300,001 hingga RM500,000.

Jelas beliau, ia sekali gus menunjukkan satu perkembangan positif terhadap perkembangan ekonomi Melaka dan impaknya kepada sektor hartanah.

“Tidak hanya itu, Melaka turut mencatat kadar unit kediaman ‘overhang’ yang rendah iaitu sebanyak 605 unit bernilai RM194.58 juta sekali gus menunjukkan angkanya lebih stabil berbanding kebanyakan negeri lain.

“Kejayaan ini adalah hasil pelaksanaan dasar penapisan dan kawal selia projek hartanah yang lebih telus, cermat dan bertanggungjawab serta komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan pembangunan perumahan yang mampan dan inklusif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Perasmian Ekspo Perumahan dan Hartanah (MAPEX) Negeri Melaka 2025 di Aeon Bandaraya Melaka, di sini, hari ini.

Teks Ucapan beliau dibacakan oleh Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin; Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Ngoh Chun How dan Pengerusi Penganjur MAPEX Melaka 2025 Datuk Sonny Tay Chor Han.

Ketua Menteri berkata, penyelarasan bersepadu antara agensi kerajaan dan kerjasama erat bersama pemain industri turut menjadi faktor utama memperkukuh ekosistem hartanah negeri ini.

“Prestasi ini membuktikan bahawa dasar perumahan yang dilaksanakan bukan sekadar iltizam di atas kertas, tetapi realiti yang sedang diterjemahkan secara berkesan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

437
Kongsi :
Previous post PELARASAN TARIF AIR MELAKA DEMI KELESTARIAN BEKALAN – SAMB
Next post MELAKA SASAR 88 PERATUS RAKYAT MILIKI RUMAH SENDIRI MENJELANG 2030