Pasca-PRU15: Istana Negara terus jadi tumpuan hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Istana Negara, di sini, sekali lagi menjadi tumpuan apabila Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu dijadual berlangsung berhubung pembentukan kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berakhir dengan Parlimen tergantung, Sabtu lepas.

Perbincangan dijadual bermula 11 pagi antara lain bertujuan mendapatkan pandangan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bagi membantu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membuat keputusan berhubung pembentukan kerajaan baharu.

Tinjauan Bernama mendapati konvoi kenderaan dari istana negeri mula memasuki perkarangan Istana Negara melalui Pintu 1 seawal 9.40 pagi ini.

Antara yang telah berangkat tiba setakat ini ialah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar; Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Keputusan PRU15 Sabtu lepas menyaksikan Parlimen tergantung apabila tiada mana-mana gabungan parti politik berjaya mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Pada PRU itu, Pakatan Harapan memperoleh 82 kerusi, Perikatan Nasional (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu.

Sementara itu, hari ini juga berlangsung proses penamaan calon bagi pilihan raya kerusi Parlimen Padang Serai di Kedah dan Dewan Undangan Negeri Tioman di Pahang yang diadakan serentak susulan kematian calon di kedua-dua kerusi berkenaan sebelum hari pengundian PRU15.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1900
Kongsi :
Previous post Siti Bainun diperintah bela diri atas tuduhan abai dan aniaya Bella
Next post Raja-raja Melayu berangkat untuk perbincangan khas di Istana Negara
Ubah saiz-+=