PBT diarah selesai aduan rakyat, elak persepsi negatif – KM

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER KEROH 17 Oktober – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini diminta agar segera menyelesaikan aduan-aduan rakyat bagi mengelakkan persepsi negatif segelintir pihak menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, meskipun tidak semua aduan rakyat dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat, namun ia tetap perlu diselesaikan demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

“Saya tidak mahu ada sesetengah pihak cuba menjadikan aduan yang tidak dapat diselesaikan itu sebagai isu atau tohmahan memburukkan Kerajaan Negeri pada pilihan raya nanti.

“Aduan rakyat ini banyak setiap hari kita terima, ini bukan hanya melibatkan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), malah semua PBT menerimanya pada setiap hari.

“Jadi bagi mengecilkan dan tidak melebarkan lagi isu-isu ini, saya mohon semua PBT atau agensi berkiatan yang menerima sebarang aduan dapat menyelesaikan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) 2035 (Penggantian) di Hotel Ames di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan; Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Yang Dipertua MPAG, Tpr Saifuddin Abdul Karim.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Md Nazri Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Zulkiflee Md Zin.

Dalam pada itu, Sulaiman turut meminta PBT mahupun agensi terlibat memaklumkan kepada orang awam sebab-sebab tertentu jika aduan mereka tidak dapat diselesaikan dengan segera.

“Semua aduan kita akan kaji dan teliti, tidak semua aduan itu di bawah MPAG mungkin ianya melibatkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)di mana peruntukan itu bukan peruntukan negeri tetapi ia Kerajaan Pesekutuan.

“Jadi maklumat ini mesti disampaikan kepada orang awam terutama mereka yang mengadu supaya kita dapat mengecilkan aduan-aduan yang mungkin kita tak selesai dan akan menjadikan ia lebih sukar esok,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2294
Kongsi :
Previous post Tok batin, penghulu Orang Asli terima one-off RM1,000
Next post 30 projek perkasa pembangunan Alor Gajah – KM
Ubah saiz-+=