PBT harus peka, proaktif laksana dasar Kerajaan Negeri

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

SERI NEGERI 23 Mei – Yang Dipertua bersama ahli-ahli majlis semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diingatkan supaya lebih peka dan proaktif dalam melaksanakan dasar-dasar yang diputuskan oleh Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pentadbiran tertinggi PBT juga perlu menjadikan amalan berfikir di luar kotak sebagai satu budaya dalam mentadbir urus, sekali gus memberikan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.

Ab Rauf berkata, pentadbiran tertinggi PBT juga perlu melakukan perancangan teliti agar pengurusan negeri menjadi lebih efektif selain meluluskan pelan pembangunan dengan cepat serta tepat.

Tegas beliau semua PBT perlu serius dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing kerana Melaka menerima peruntukan berjumlah RM83.66 juta daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi tujuan pembangunan komuniti di negeri ini.

“Peruntukan KPKT ini diberikan berdasarkan prestasi atau ‘performance-based budget’ untuk merealisasikan 17 projek penting dalam strategi pembangunan komuniti bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat di Melaka.

“Saya mahu ketua-ketua PBT dan ahli-ahli majlis memastikan segala perancangan pembangunan negeri dapat dilaksana dengan efektif selain proses kelulusan pelan-pelan pembangunan dibuat dengan cepat serta tepat.

“Saya juga mahu segala aset atau daya tarikan pelancongan terdapat bawah kelolaan PBT dapat diperhebat agar Negeri Melaka ini bukan sahaja mempunyai pusat tumpuan pelancongan di bandar, pelancongan di luar bandar juga,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap bagi menyempurnakan Majlis Angkat Sumpah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Ke-9 di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama menyaksikan majlis itu adalah Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas-tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Saleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Abdul Aziz Engan serta Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

Yang turut hadir Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman; Yang Dipertua MPJ yang baharu, Mohd Shaiful Hizam Johan; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), TPr. Saifuddin Abdul Karim.

“Tahniah saya ucapkan kepada Yang Dipertua MPJ yang baharu dilantik ini, saya meminta agar barisan kepimpinan baharu ini berani melakukan transformasi ke arah kebaikan dan kemajuan PBT. Laksanakan amanah kerajaan dan masyarakat tempatan yang diwakili dengan penuh integriti serta dedikasi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

89
Kongsi :
Previous post Polis buru dua suspek pecah rumah, larikan motosikal pemain Selangor FC
Next post Daftar segera, elak petani keciciran terima bantuan
Ubah saiz-+=