PBT Melaka sasar RM63 juta nilai dapatan tahun 2023 – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 7 Februari – Kerajaan Negeri menyasarkan hasil dapatan bagi keseluruhan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka pada tahun ini bernilai RM 63 juta.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Attan berkata empat PBT terbabit adalah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

Katanya, jumlah terbabit dapat dicapai termasuk melalui cadangan melaksanakan penyelarasan sumber perkhidmatan daripada cukai-cukai baharu yang akan diperkenalkan di semua PBT.

Beliau berkata, menerusi hasil dapatan sumber cukai-cukai perkhidmatan baharu itu, ia akan digunakan untuk menaik taraf infrastruktur dalam negeri ini.

“Pendapatan baharu PBT Melaka kita sasarkan RM63 juta. Di mana RM38 juta daripada jumlah terbabit datangnya dari Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

“Selebihnya adalah hasil dari pengenalan dapatan baharu termasuk perkhidmatan, penetapan julat cukai dan sebagainya.

“Hal ini kerana di Malaysia, cukai di Melaka adalah yang termurah, dan sekiranya negeri tidak membuat sesuatu, kita akan memberi bebanan kepada generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Nota Serahan Tugas Jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) kepada Datin Sapiah Haron di Kompleks Melaka Mall hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata Melaka memerlukan sumber baharu untuk memastikan infrastruktur sentiasa dalam keadaan yang baik.

“Perkara seperti mempunyai dapatan baharu dengan memperkenalkan cukai-cukai baharu itu adalah antara yang perlu dibuat dalam menuju sebagai negeri maju,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1929
Kongsi :
Previous post Sapiah mula tugas secara rasmi sebagai YDP MPHTJ
Next post Angkara cemburu, bekas kekasih buat kecoh
Ubah saiz-+=