Calon SPM ponteng sekolah: KM rayu ibu bapa main peranan

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

LENDU 30 Sept. – Ibu bapa dirayu agar memainkan peranan penting bagi mengurangkan masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar sepanjang tempoh pasca COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, peranan ibu bapa sangat penting dalam memastikan anak-anak tidak keciciran dalam aspek pembelajaran di sekolah, khususnya bagi yang mengambil peperiksaan besar seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Masa permulaan pandemik COVID-19 ramai yang tak dapat datang ke sekolah. Kini boleh sekolah sudah dibuka semula, difahamkan masih ramai yang tidak hadir, terutama membabitkan pelajar yang mengambil SPM. Ia sangat membimbangkan.

“Jadi saya berpesan kepada ibu bapa agar memainkan peranan untuk memastikan anak-anak kita terus sampai ke sekolah. Perhatikanlah tindak-tanduk mereka. Kita tak nak mereka ini keciciran nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas data yang dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka yang merekodkan tidak sampai 90 peratus kehadiran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke sekolah selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Terdahulu, laporan Melaka Hari Ini (MHI) mendedahkan terdapat lebih 1,200 pelajar SPM tidak hadir ke sekolah berdasarkan statistik pada bulan Ogos.

Mengulas lanjut, Sulaiman turut berharap agar nama pelajar-pelajar yang kerap ponteng sekolah dapat disampaikan terus kepada ibu bapa bagi mengatasi masalah itu.

“Saya harap ibu bapa dapatlah berkorban lebih sikit dalam tahun COVID-19 ini. Jangan hanya biarkan anak-anak begitu sahaja. Pastikan mereka hadir ke sekolah setiap hari agar mereka tidak keciciran untuk masa depan yang lebih gemilang,” katanya lagi.

Views:

702
Kongsi :
Previous post Jabatan Pendidikan Melaka beri jaminan sekolah kawasan selamat
Next post Ceritera Melaka akses mudah rakyat kenali Melaka
Ubah saiz-+=