Jabatan Pendidikan Melaka beri jaminan sekolah kawasan selamat

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH, 30 SEPT.- Jabatan Pendidikan Negeri Melaka memberi jaminan persekitaran sekolah adalah kawasan selamat dan ibu bapa tidak perlu bimbang untuk membenarkan anak-anak ke sekolah.

Pengarahnya Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, pihaknya termasuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah telah menggariskan panduan serta menekankan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan.

Beliau berkata, ketidakhadiran pelajar khususnya Tingkatan lima ke sekolah amat membimbangkan pihaknya kerana mereka perlu menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada awal Januari depan, selain pihaknya sudah merangka pelan tindakan serta modul.

“Saya ingin tegaskan kawasan sekolah kita masih selamat dan jangan risau hendak datang ke sekolah selain tiada lagi kes dalam kalangan pelajar.

“Dalam kawasan sekolah kita memberikan perhatian keselamatan kepada pelajar, masuk sahaja pintu pagar kita sudah mengambil suhu dan sekiranya melebihi 37 darjah celsius, tindakan mengikut SOP akan diambil malah guru-guru juga diingatkan menekankan pematuhan SOP,” katanya.

Beliau berkata, JPN sedia maklum dengan COVID-19 mungkin ada diantara ibu bapa atau ahli keluarga yang terkesan tetapi walau apa cabarannya fokus perlu diberikan kepada pelajar Tingkatan lima dalam membolehkan mereka meneruskan proses pembelajaran dengan sempurna untuk menduduki SPM.

“Kita tidak boleh menjadikan pandemik yang berlaku ini sebagai penghalang malah di sekolah kita sediakan sokongan psikologi dan emosi melalui kaunselor untuk memberi nasihat serta bimbingan kerana tidak mahu mereka ini terabai atau tertinggal dalam pelajaran,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, selain JPN, PPD dan sekolah pihak lain termasuk ibu bapa, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan persatuan belia juga perlu turut sama memainkan peranan dalam memantau pergerakan pelajar dalam memastikan kehadiran mereka ke sekolah.

“Kita ada terima maklumat terdapat pelajar tidak ke sekolah tetapi berada dirumah dan JPN harapkan ibu bapa atau ahli keluarga dapat tegaskan untuk pelajar ini hadir ke sekolah.

“JPN, PPD dan sekolah kita memberi perhatian istimewa dan turut mengadakan ziarah kasih ke rumah pelajar untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku.

“Sekiranya mereka tidak dapat ke sekolah kerana masalah kewangan kita ada penyelesaian atau dengan menyediakan wang saku,” katanya.

Ujar beliau lagi, kerajaan negeri juga komited dalam memastikan kejayaan pelajar apabila turut menyampaikan replika cek berjumlah RM300,000 untuk aktiviti kecemerlangan pelajar SPM.

Views:

416
Kongsi :
Previous post Aksi MU menentang Kedah ditunda Ahad
Next post Calon SPM ponteng sekolah: KM rayu ibu bapa main peranan
Ubah saiz-+=