Sorting by

×

WRUR TELOK MAS: TOK AJAK IKTIRAF NELAYAN SEBAGAI PEJUANG LAUT

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

TELOK MAS 15 Jun – Golongan nelayan disifatkan sebagai pejuang laut yang memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan hasil laut dan sumber pendapatan masyarakat terus terjamin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, jasa dan pengorbanan nelayan yang turun ke laut mencari rezeki wajar dihargai kerana mereka merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi setempat.

Menurutnya, pertemuan bersama nelayan akan terus diadakan secara berkala bagi membolehkan pelbagai isu dan keperluan mereka diberi perhatian serta diselesaikan secara berperingkat.

“Alhamdulillah, seperti biasa setiap empat hingga lima bulan saya akan mengumpulkan nelayan dari empat pangkalan nelayan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas untuk bertemu dan berbincang.

“Ada beberapa perkara yang sedang dalam tindakan dan kita akan cuba selesaikan satu demi satu, khususnya melibatkan kemudahan di setiap pangkalan nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Nelayan DUN Telok Mas sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Telok Mas di Japerun Telok Mas, di sini, hari ini.

Abdul Razak yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri turut menasihatkan nelayan supaya sentiasa menjaga keselamatan ketika berada di laut serta mencari rezeki secara halal.

“Saya sentiasa berpesan kepada nelayan supaya menjaga diri ketika turun ke laut dan mencari rezeki yang halal.

“Kita juga mahu memastikan kebajikan nelayan terus terbela kerana mereka adalah pejuang-pejuang laut. Kalau mereka tidak ke laut, dari mana datangnya ikan dan sumber pendapatan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kerja-kerja menaik taraf bangsal di kawasan pangkalan nelayan dijangka siap dalam tempoh sebulan lagi bagi memberi keselesaan kepada komuniti berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

441
Kongsi :
Previous post WRUR TELOK MAS: MEDIUM UNTUK SEMUA GENERASI TUNJUK BAKAT
Next post INDUSTRI AUTOMOTIF JADI PEMANGKIN EKONOMI UTARA MELAKA