Aksi MU menentang Kedah ditunda Ahad

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 30 Sept. – Aksi Liga Super  antara Melaka United (MU) dengan Kedah di Stadium Darul Aman yang sepatutnya dijadual pada Jumaat ini (2 Oktober) dipinda ke Ahad (4 Oktober).

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, keputusan itu dicapai selepas menerima permohonan daripada pasukan Melaka yang sedang menjalani proses kuarantin selepas pulang dari Sabah bermula 28 September lalu sehingga hari ini.

Keputusan itu juga menurutnya bagi membolehkan skuad Hang Tuah memiliki tempoh masa melakukan persiapan memandangkan mereka hanya dibenarkan mengadakan sesi latihan sebaik mendapatkan keputusan ujian COVID-19, esok.

“Saya telah dimaklumkan daripada pihak Melaka bahawa pasukan mereka telah menjalani kuarantin di hotel berdekatan Bandar Melaka selama tiga hari di mana mereka telah menjalani dua ujian calitan COVID-19 pada 27 dan 29 September lalu.

“Keputusan ujian COVID-19 pada 29 September itu akan dikeluarkan esok dan kemudian Melaka akan dibenarkan untuk memulakan latihan selepas mendapat keputusan ujian saringan itu.

“Jadi, MFL telah menilai dan mengambil setiap pertimbangan daripada pasukan Melaka yang memohon mendapatkan masa rehat yang cukup serta menjalani latihan dan MFL telah bersetuju untuk meminda tarikh aksi CIMB Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Aman itu pada Ahad ini.

“Keputusan untuk meminda tarikh perlawanan ini juga turut mendapat persetujuan Kedah yang menunjukkan semangat kesukanan tinggi serta memahami kesukaran yang dihadapi Melaka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ab. Ghani mengingatkan kesemua pasukan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan kesejahteraan dan keharmonian Liga Malaysia sentiasa dalam keadaan terjamin.

“Saingan Liga Super semakin hampir ke kemuncak jadi saya berharap agar semua pasukan terus meningkatkan tahap pematuhan SOP untuk kita sama-sama mengekang penularan pandemik COVID-19. Kita semua tidak boleh leka kerana kita belum bebas daripada ancaman wabak ini.

“Bersama-sama kita terus berdisiplin mematuhi SOP COVID-19 dan berdoa untuk kesejahteraan kita semua,” katanya.

Views:

257
Kongsi :
Previous post AKPK saran peminjam nilai kedudukan kewangan berikutan moratorium bakal berakhir
Next post Jabatan Pendidikan Melaka beri jaminan sekolah kawasan selamat
Ubah saiz-+=