Sorting by

×

Peluang sama rata buat pelajar – KM

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

ASAHAN 30 Julai – Kerajaan Negeri komited dalam memastikan pelajar tidak berkemampuan mendapat peluang sama rata tanpa ada perbezaan latar belakang.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, ini kerana aspek pendidikan bukan sahaja membabitkan penyediaan prasarana serta kemudahan yang lengkap malah peruntukan bantuan.

“Menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan peruntukan bantuan dan kebajikan kepada murid-murid berkelayakan.

“Bantuan dan sokongan pendidikan bersesuaian dengan keperluan murid diberikan bagi memastikan mereka mendapat peluang sama rata tanpa membezakan latar belakang keluarga dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan B40 Peringkat DUN Asahan, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan Fairul Nizam Roslan dan Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Menurutnya, dengan adanya bantuan itu, ia dapat menyuntik semangat anak-anak untuk mencapai kecemerlangan sama ada dalam bidang kurikulum mahupun kokurikulum.

“Janganlah kita jadikan kesusahan diri serta keluarga sebagai penghalang untuk mencipta kecemerlangan dan kejayaan. Malah pihak sekolah juga perlu melangkah sederap dan bergerak seiiring untuk menentukan kejayaan pelajar.

“Saya percaya bantuan ini amat besar ertinya kepada penerima selain dapat mengurangkan beban ibu bapa selain dapat menyuntik semangat serta motivasi kepada pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

SELANDAR 30 Julai – Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali ketika hadir pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan B40 Peringkat DUN Asahan di Dewan MPJ Hang Kasturi Selandar. Turut bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Fairul Nizam Roslan. Foto Iqmal Haqim Rosman

Sementara itu Fairul berkata, seramai 200 pelajar tingkatan lima dari DUN Asahan menerima bantuan persekolahan dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat.

“Menerusi program ini Yayasan Bank Rakyat menyumbang sebanyak RM20,000 untuk membantu seramai 200 pelajar untuk itu kita lakukan pemilihan lima buah sekolah.

“Pemilihan ini dibuat oleh pihak sekolah bagi memilih pelajar yang layak, ini bagi membantu mereka membuat persediaan menghadapi SPM tidak lama lagi,” katanya.

Menurutnya lagi, di peringkat DUN Asahan, sebanyak RM150,000 dibelanjakan untuk pembangunan di dalam sekolah, program tuisyen rakyat serta sumbangan kepada sekolah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1207
Kongsi :
Previous post Rohana ditawarkan pengajian di UTeM
Next post Aktivis sosial, kebajikan diangkat Tokoh Maal Hijrah Melaka
Ubah saiz-+=