Aktivis sosial, kebajikan diangkat Tokoh Maal Hijrah Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BUKIT PALAH 30 Julai – Tokoh wanita yang juga seorang aktivis sosial dan kebajikan peringkat negeri dan antarabangsa, Datuk Hasnah Salam, diangkat menerima Anugerah Abu Bakar As-Siddiq atau Tokoh Utama Maal Hijrah 1444H/2022 peringkat negeri Melaka, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Angin Ahmar Melaka menerima wang tunai RM10,000, plak serta sijil penghargaan yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444 di Dataran Pusat islam Masjid Al Azim di sini hari ini.

Hasnah,62, yang berasal dari Melaka Pindah, Alor Gajah itu sebelum ini aktif dalam kerja-kerja sukarelawan dan mempunyai beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang diterajuinya.

Ibu kepada empat anak ini berkata beliau tidak menyangka akan menerima pengiktirafan yang begitu besar dan bermakna seperti itu.

“Saya amat menghargai pihak-pihak yang menilai usaha saya dalam memberikan yang terbaik dalam masyarakat, syukur tidak terhingga,” katanya ketika ditemui hari ini.

Hasnah turut memaklumkan beliau antara pemberi idea ketika melaksanakan Melaka Bebas Asap Rokok (MBAR) di negeri ini dan turut berkecimpung aktif dalam politik Melaka.

VINCENT menerima Anugerah Ibnu Uraiqith yang disampaikan Tun Mohd Ali sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444H di Dataran Pusat islam Masjid Al Azim.

Sementara itu, bagi penerima Anugerah Ibnu Uraiqith iaitu anugerah baharu diwujudkan tahun ini mengangkat individu bukan Islam yang banyak memberi sumbangan kepada Islam diberikan kepada Vincent Teh Hock Cheng.

Beliau merupakan seorang Pengarah syarikat pembekalan makanan dan telah membantu untuk menyalurkan bantuan tanpa mengira bangsa dan agama.

“Pelbagai bantuan disalurkan, lebih-lebih lagi ketika pandemik COVID-19 lalu namun masjid, surau, asnaf dan orang miskin sentiasa menjadi keutamaan saya dalam menyampaikan bantuan.

“Walaupun bukan beragama Islam, tapi hati saya didorong untuk menyumbang dengan ikhlas dalam pembinaan surau, masjid dan beberapa lagi insitusi agama,” katanya yang menerima sijil dan wang tunai RM 3,000 yang disampaikan oleh Tun Mohd Ali.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3106
Kongsi :
Previous post Peluang sama rata buat pelajar – KM
Next post RUU kawal produk tembakau tidak jejas ekonomi negara
Ubah saiz-+=