Sorting by

×

PELUANG TVET LEBIH LUAS UNTUK ANAK MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

SERI NEGERI 20 September – Anak-anak Melaka bakal menikmati peluang lebih luas dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila latihan dan penempatan pekerjaan mereka diperkukuh melalui kerjasama strategik dengan pihak industri.

Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, usaha itu bagi memastikan anak Melaka mendapat peluang membina kerjaya berkualiti dan berdaya saing, sama ada mereka menamatkan pengajian di dalam atau luar negeri.

“Kita akan mengolah dan menambah baik cadangan yang diterima, khususnya dari segi latihan TVET yang memenuhi keperluan industri.

“Fokus kita adalah membantu anak Melaka yang belajar dalam bidang TVET supaya mereka dapat menimba ilmu, mendapatkan latihan yang bersesuaian dan seterusnya berpeluang membina kerjaya di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sesi Libat Urus Awam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Peringkat Negeri Melaka di Auditorium Seri Negeri, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Negeri Melaka, Sa’ari Basiron dan Pengarah Eksekutif Institut Polisi Awam dan Pengurusan Antarabangsa (INPUMA), Universiti Malaya (UM), Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff.

Khaidhirah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim berkata, kerjasama dengan pihak industri amat penting untuk memastikan latihan yang disediakan benar-benar relevan dan mampu memenuhi permintaan pasaran kerja.

“Apabila latihan disesuaikan dengan keperluan industri, ia akan memudahkan anak-anak Melaka menguasai kemahiran sebenar sekali gus meningkatkan peluang mereka mendapat pekerjaan dalam bidang yang diceburi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

460
Kongsi :
Previous post KERAJAAN KAJI PERLUAS SKOP RUU TRIBUNAL ANTI-BULI KEPADA SEMUA PERINGKAT UMUR – AZALINA
Next post WTD 2025: KRT GANDING BAHU PASTIKAN MELAKA BERSIH, CERIA