Pemahaman ibu bapa tentang HFMD masih rendah

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 13 Mei – Pemahaman ibu bapa tentang penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) masih rendah sehingga ada yang tidak menyedari anak mereka sudah dijangkiti dan berada pada tahap bahaya.

Pengarah Akademik Mumtaz Generation International, Elina Jalil berkata pada kebiasaan ibu bapa hanya tahu anak mereka dijangkiti HFMD selepas mengalami demam panas.

“Kita di Mumtaz Generation memang sentiasa peka akan kesihatan anak-anak didik terutama yang berusia bawah tiga tahun sebab mereka ini masih kurang pandai bercakap.

“Biasanya anak-anak yang demam memang kita tidak terima jika ibu mahu hantar, kita risau berlaku jangkitan kepada murid lain. Kami amat beri perhatian berhubung jangkitan HFMD ini.

“Kalau murid ada tanda-tanda HFMD guru pada kebiasaannya akan dapat kesan lebih awal. Kanak-kanak ini biasanya akan hilang selera makan dan mengadu sakit mulut,” katanya ketika dihubungi.

ELINA

Menurut Elina setakat ini Mumtaz Generation telah menghantar tiga orang guru mewakili setiap cawangan untuk menjalani latihan mengenai penyakit HFMD di sebuah pusat perubatan swasta di negeri ini sebelum Ramadan lalu.

“Wakil dihantar menjalani kursus untuk memahami dan mengenal pasti tanda awal HFMD. Alhamdulillah setakat ini di Mumtaz Generation belum ada kes murid kami yang dijangkiti HFMD, tetapi kami akan terus berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan.

“Setiap hari Jumaat kita akan buat pembersihan termasuk sanitasi kelas, cuci peralatan makanan seperti gelas, sudu dan pinggan yang dibekalkan oleh ibu bapa murid itu sendiri,” katanya.

Untuk rekod setakat ini Mumtaz Generation mempunyai empat cawangan di Melaka dan satu di Ampang melibatkan lebih 300 anak murid.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

833
Kongsi :
Previous post Mayat kru kapal layar terjatuh dari bot di Langkawi ditemukan
Next post Budak 10 tahun pandu Kancil, ibu tampil serah diri
Ubah saiz-+=