Sorting by

×

PEMBINAAN JATI DIRI MENERUSI PERTANDINGAN PENGISAHAN KENEGARAAN

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

MACHAP JAYA 21 Julai – Pertandingan Pengisahan Kenegaraan bukan sekadar pertandingan, tetapi platform memupuk jati diri dalam kalangan pelajar sekolah.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, dalam usaha membina sebuah negara bangsa generasi muda khususnya perlu mempunyai semangat patriotik.

“Pertandingan ini diadakan dua tahun sekali dan pada tahun ini sebanyak tujuh buah sekolah menengah mengambil bahagian, johan akan mewakili Melaka ke peringkat kebangsaan.

“Program ini bukan semata-mata pertandingan tetapi bertujuan memupuk semangat jati diri dan memperkukuhkan kefahaman tentang sejarah tanah air dalam kalangan pelajar sekolah.

“Malah pertandingan ini juga dapat menjadi wahana untuk kita membina rasa cinta kepada tanah air, menghargai kemerdekaan dan memupuk nilai perpaduan dalam kalangan penduduk berbilang kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutup Pertandingan Pengisahan Kenegaraan @Kelab Malaysiaku 2025 yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Melaka, Ab Rasil Hajatil, di Kompleks Penyayang Alor Gajah, hari ini.

Menurut Fairul Nizam, kejayaan pertandingan membuktikan bahawa penubuhan Kelab Malaysiaku di sekolah-sekolah terus relevan dan menjadi medium berkesan dalam mendidik anak muda tentang makna sebenar patriotisme serta jati diri.

“Daripada keseluruhan 178 sekolah menengah baru ada 46 kelab, justeru penambaikkan perlu dilakukan bagi menggalak lebih banyak sekolah menubuhkan kelab ini.

“Saya amat berharap semua pihak termasuk sekolah, komuniti dan agensi kerajaan memberi sokongan kepada kelab ini, supaya peranannya dapat terus berkembang, memberi impak positif dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Terdahulu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba diumumkan sebagai johan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan @Kelab Malaysiaku 2025, sementara itu SMK Malim, ditempat kedua manakala tempat ketiga milik SMK Durian Tunggal.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3990
Kongsi :
Previous post 23 PUSAT JAGAAN, TASKA DIAMBIL TINDAKAN ATAS PELBAGAI KESALAHAN