Pemimpin jangan rakus, angkuh dan gelojoh – PM

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDA HILIR 20 Februari – Usaha mengenang jasa pejuang kemerdekaan seperti yang dilakukan Kerajaan Negeri Melaka disifatkan sebagai satu usaha terbaik untuk negara dan pemimpin masa kini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penganjuran Majlis Memperingati Peristiwa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Di Melaka umpamanya dapat memberi mesej yang jelas kepada pemimpin di negara ini.

“Ia merupakan satu peringatan kepada pemimpin agar tidak terheret amalan kerakusan, keangkuhan dan kegelojohan seperti penjajah,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh serta isteri Datin Seri Utama Zuriyah Ab Aziz.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, menerusi majlis memperingati kemerdekaan seumpama itu, ia juga memberi pengajaran kepada generasi akan datang supaya tidak alpa.

“Sedangkan negara yang gagah dan berdaulat dengan sistem terulung juga pernah rebah dijajah, kekayaan dipunggah penjajah dan rakyat dimiskinkan papa kedana. Kita menjadi hamba di negara sendiri. Itulah penjajahan.

“Namun, berkat perjuangan pejuang kemerdekaan, kita berjaya mengembalikan kemerdekaan. Jadi hayatilah erti kemerdekaan negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

461
Kongsi :
Previous post Melaka ‘ketuk’ hati hayati erti merdeka – PM
Next post Lebih 94,000 pengunjung rebut peluang kemasukan percuma di 10 lokasi pelancongan
Ubah saiz-+=