Pemuda UMNO Melaka serah memorandum tangani isu rakyat kepada KM

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 8 Sept – Pemuda UMNO Melaka akan menyerahkan satu memorandum kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali meminta kerajaan menangani isu pemilikan rumah dalam kalangan golongan belia di negeri ini.

Ketuanya, Fairul Nizam Roslan berkata, memorandum itu antara lain turut menyentuh masalah kehilangan kerja akan diserahkan kepada Sulaiman, minggu hadapan.

“Perkara utama dalam memorandum ini adalah mencadangkan Ketua Menteri agar menambah lebih banyak projek rumah mampu milik berharga antara RM110,000 sehingga RM180,000 di Melaka.

“Boleh lihat contoh seperti projek Pangsapuri Mampu Milik Bandar Jasin Bestari di bawah Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (PERTAM) yang dijual RM110,000 telah habis dijual,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Bekal Sdn Bhd berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di pejabatnya di sini hari ini.

Tambahnya, Pemuda UMNO yakin pembinaan pangsapuri mampu milik di bawah harga RM180,000 akan mendapat sambutan baik dalam kalangan pasangan muda baru yang berkahwin.

“Sebab itu kita akan cadangkan kepada Ketua Menteri mungkin boleh bina 500 buah rumah mampu milik (RMM) ini di setiap daerah kerana saya yakin ramai pasangan muda tidak mampu beli rumah lebih RM200,000 ketika ini.

“Tambahan pula, pembinaan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) pun kini sudah terhenti, jadi diharapkan mungkin PERTAM atau Lembaga Perumahan Melaka boleh melaksanakan inisiatif RMM ini,” tambahnya.

Mengulas lanjut Fairul Nizam berkata, antara kandungan lain memorandum berkenaan adalah berharap peniaga kecil yang terjejas akibat COVID-19 terus mendapat perhatian dan bantuan kerajaan.

“Ini termasuklah mencadangkan agar mereka ini dikecualikan bayaran sewa kedai milik pihak berkuasa tempatan (PBT), selain nilai kompaun juga dikurangkan.

“Dalam keadaan sekarang banyak pihak terjejas, namun saya yakin Ketua Menteri juga sangat prihatin berdasarkan pelbagai bantuan telah disalurkan sebelum ini,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1373
Kongsi :
Previous post TLDM tahan 13 pendatang asing di perairan Teluk Ramunia
Next post LHDN serah 200 kit makanan kepada MAIM
Ubah saiz-+=