Pemuzik jalanan dibenar teruskan aktiviti

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Pemuzik jalanan atau ‘buskers’ dibenarkan meneruskan aktiviti dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal semasa membuat persembahan mereka.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sentiasa mengambil maklum setiap keluhan dan rayuan rakyat termasuk daripada pemuzik jalanan yang bergantung hidup sepenuhnya kepada persembahan mereka.

“Kerajaan menerima rayuan daripada pihak pemuzik jalanan atau buskers yang sepenuh masa bergantung hidup dengan persembahan mereka di restoran, gerai-gerai, warung dan medan selera.

“Mereka mohon supaya kebenaran diberikan dan setelah kita berbincang dalam mesyuarat teknikal, kita bersetuju untuk benarkan mereka menjalankan aktiviti mereka.

“Ini sama ada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya dalam satu sidang media harian perkembangan COVID-19, hari ini.

Jelasnya, kebenaran itu setelah melihat kawasan pemuzik jalanan itu hanya di medan selera, warung serta gerai makan di kawasan ‘outdoor’.

Ismail berkata kerajaan turut membenarkan aktiviti mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) dan mesyuarat bersemuka di kawasan PKP bermula 5 Mac ini, dengan kehadiran 25 peratus daripada kapasiti premis atau maksimum 250 orang.

Katanya, hasil pembentangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mendapati industri MICE pada tahun lalu menurun kepada RM2.25 bilion iaitu berkurangan sehingga 90 peratus, berbanding RM9.25 bilion pada 2019 selain lebih 5,000 pekerja industri itu hilang pekerjaan.

Mengenai perkhidmatan tata rias kuku tangan dan kaki (manicure & pedicure), beliau berkata perkara itu telah dibincangkan dengan Kementerian Kesihatan (KKM), dan kementerian berkenaan turut meminta diberikan masa menjalankan penilaian risiko kerana aktiviti tata rias kuku melibatkan sentuhan.

“KKM ingin melihat secara menyeluruh perkara itu kerana kalau kita benarkan manicure dan pedicure atau facial (rawatan muka), maka kita juga perlu mempertimbangkan permohonan seperti spa dan urutan kerana ia juga melibatkan sentuhan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1289
Kongsi :
Previous post Ibu bapa boleh rentas negeri untuk hantar anak ke sekolah
Next post Kenderaan boleh dinaiki penumpang walaupun dari alamat berbeza – Ismail Sabri
Ubah saiz-+=