Sorting by

×

PENA DAN LENSA DUA PENGARANG MUDA MHI DIHARGAI

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

SERI NEGERI 25 Ogos – Kemahiran ‘bermain’ pena dan menghasilkan kandungan video kreatif dua pengarang muda ini amat membantu dalam menyuarakan isu rakyat serta menguar-uarkan pelbagai inisiatif berfaedah dilaksanakan Kerajaan Negeri demi kepentingan orang Melaka.

Meskipun lebih banyak bekerja di belakang tabir, namun peranan dimainkan selain naratif di susun Pengarang ‘online & offline’ Melaka Hari Ini, Mohamad Fazrul Abdul Majid dan Pengarang Kandungan Melaka TV Mohamad Faris Haikal Mohamad Zakaria sebenarnya amat besar serta memberikan impak lebih berkesan kepada  sistem penyampaian Kerajaan Negeri.

Dua pengarang muda ini mendapat perhatian Kerajaan Negeri apabila mereka tersenarai sebagai antara penerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-76 Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.

Mohamad Fazrul berkata, sebagai seorang wartawan beliau menggalas tanggungjawab yang amat besar terutama apabila menulis laporan berita yang melibatkan kepentingan awam atau isu masyarakat.

“Tugas sebagai wartawan juga menuntut pengorbanan termasuk hari cuti dan waktu bekerja yang tidak menentu, tetapi bagi saya itu adalah satu bentuk cabaran kerana apa yang dicari sebenarnya adalah kepuasan dapat menyampaikan hasrat Kerajaan Negeri kepada rakyat.

“Insya-Allah anugerah yang diterima kali ini akan menyuntik lagi semangat saya untuk terus menabur jasa kepada orang Melaka,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Faris Haikal Zakaria berkata, sesuai dengan peredaran zaman digital, perhatian orang ramai kini lebih tertumpu kepada kandungan video berbanding bahan bercetak dan situasi itu menjadi satu cabaran buat dirinya dalam melaksanakan tugas diamanahkan.

Pemuda berusia 30 tahun ini berkata, hebahan berhubung dasar Kerajaan Negeri ketika ini perlu lebih kreatif dan menarik agar ia menepati selera rakyat terutamanya anak muda.

“Berikutan itu kami di Melaka TV memanfaatkan sepenuhnya medium media sosial, cara penghasilan video juga perlu lebih ‘eye catchy’ tanpa mengabaikan aspek profesional agar penonton lebih tertarik.

“Tugas kami bukan sekadar melaporkan dasar kerajaan semata-mata sebaliknya turut melibatkan isu rakyat, perkembangan semasa dan paling utama turut memainkan peranan besar dalam mempromosikan sektor pelancongan Melaka, ini termasuk penganjuran Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD) 2025 tidak lama lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

537
Kongsi :
Previous post KOMITMEN SHAIFULFAZLEE DIHARGAI
Next post CHEK YAH TERHARU, JASA DAN BAKTI MASIH DIKENANG