Sorting by

×

PENANTIAN 30 TAHUN PEMOHON TANAH RIZAB JALAN KERETAPI LAMA BERAKHIR

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

REMBIA 15 Ogos – Penantian lebih 30 tahun 45 pemohon tanah rizab Jalan Keretapi Lama, Kampung Pengkalan untuk memiliki tanah sendiri berakhir selepas masing-masing menerima surat kelulusan Permohonan Tanah Kerajaan (PTK) disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, hari ini.

Ketua Menteri, berkata jumlah itu adalah keseluruhan daripada 47 permohonan diterima Kerajaan Negeri daripada sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia.

“Kelulusan turut melibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menerima tanah di Plot 1, Mukim Kelemak untuk pembinaan pencawang elektrik bagi membekalkan tenaga ke kawasan perumahan, komersial, hospital dan pejabat kerajaan dengan memberi manfaat kepada lebih 3,050 pengguna.

“Kemudahan pencawang ini menjadikan proses pengagihan bekalan elektrik menjadi lebih lancar, beban diagih secara seimbang dan sistem bekalan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Kelulusan PTK Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Rembia di Dewan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), di sini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Penyelaras DUN Rembia merangkap Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco, Timbalan Exco dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Penyelaras DUN Rembia, Datuk Fairul Nizam antara individu yang memainkan peranan besar dalam hala tuju pembangunan sebenar DUN itu.

“Saya juga menghargai seluruh warga pentadbiran Kerajaan Negeri khususnya Pejabat Daerah Alor Gajah yang berusaha memastikan permohonan ini lengkap sehingga boleh diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk kelulusan.

“Usaha ini adalah cerminan nyata kepedulian Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap inci tanah diamanahkan menjadi titik tolak kepada kemajuan negeri, sekali gus memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

447
Kongsi :
Previous post MAHU RAKYAT JADI PEMILIK TANAH DI NEGERI SENDIRI – KM
Next post KAPAL ‘HANTU’ DITUNDA KE KSB, JALANI PEMERIKSAAN SEBELUM SIASATAN PENUH – MARITIM