Pencapaian cemerlang peperiksaan bukti guru berkualiti – KM

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat
AYER KEROH 16 Mei – Melaka mencapai keputusan cemerlang bagi semua peperiksaan utama hasil kesungguhan seramai 13,700 guru bertugas di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia membuktikan warga pendidik di negeri ini mampu mendepani segala cabaran demi memastikan bidang pendidikan negara terus diperkasakan.
“Bagi keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021, peratus lulus penuh Negeri Melaka ialah 99.03 peratus, mengatasi keputusan nasional 0.40 peratus iaitu 98.63 peratus.
“Ini menunjukkan sebanyak 11 daripada 17 buah sekolah telah mencapai keputusan 100 peratus lulus penuh,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-52 Tahun 2023 bertemakan Guru Insani Pemangkin Generasi MADANI yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari;  Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying dan barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Katanya, pencapaian peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2022 pula, peratus lulus calon adalah 62.32 peratus.
“Daripada peratusan itu, dua calon mencatatkan keputusan Mumtaz (cemerlang) Gred 1, 17 calon mendapat Sijil Jayyid Jiddan (amat baik) Gred 2 dan 24 calon mendapat Sijil Jayyid (baik) Gred 3, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan calon lulus seramai 43 orang.
“Sementara itu bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021, peratus lulus adalah 91.3 peratus iaitu layak mendapat sijil mengatasi nasional 3.2 peratus iaitu layak sijil nasional 88.1 peratus. Pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) ialah 4.83 mata mengatasi nasional 0.03 mata iaitu 4.86 mata,” katanya.
Tambahnya, bilangan calon cemerlang memperoleh semua ‘A’ adalah seramai 257 orang.
“Manakala dua calon mendapat semua A+ bagi semua mata pelajaran dan merupakan calon cemerlang Negeri Melaka bagi tahun 2021.
“Justeru itu Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri akan terus melipat gandakan usaha, bekerja  lebih gigih demi mengangkat martabat bidang pendidikan di Melaka,” Katanya.
Pada majlis sama turut diadakan penyampaian dua anugerah utama iaitu Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2023 dan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2023.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

885
Kongsi :
Previous post Bijak urus sisa, MPHTJ terima anugerah emas
Next post Kenaikan elaun guru jadi keutamaan – PM
Ubah saiz-+=