Bijak urus sisa, MPHTJ terima anugerah emas

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 16 Mei – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menjadi antara tiga penerima Anugerah Emas bagi pemegang Lesen Abstraksi Air Mentah di negeri ini.

Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata, anugerah emas itu diterima bagi kategori lokasi pelancongan dan rekreasi menerusi pengurusan Zoo Melaka.

Katanya, zoo berkenaan telah menggunakan langkah bijak bagi memastikan sisa kumbahan yang terhasil dilepaskan dengan bersih tanpa sebarang pencemaran.

“Di Zoo Melaka, kita telah melaksanakan sistem tapisan yang teratur dan terawat sebelum melepaskan sisa kumbahan Zoo Melaka ke Tasik Ayer Keroh.

“Malah, Tasik Ayer Keroh turut dijadikan sumber air kepada sebahagian kawasan Zoo Melaka.

“Penapisan ini kita akan pastikan setiap hari mesti dijalankan dengan teratur supaya tiada pencemaran dilepaskan ke tasik atau saliran,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu Sapiah menerima pengiktirafan itu pada Hari Bertemu Pelanggan Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka yang diadakan di Pejabat BKSA di Menara Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Anugerah itu telah disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Selain MPHTJ, terdapat 12 syarikat dan organisasi lain turut menerima anugerah tersebut bermula dari kategori gangsa, perak, emas dan platinum.

IMG-20230515-WA0025
Farm’s Best Food Industried Sdn Bhd menjadi antara tiga penerima anugerah gangsa BKSA.

Sementara itu, sebuah syarikat penternakan ayam, Farm’s Best Food Industried Sdn Bhd menjadi antara tiga penerima anugerah gangsa pada majlis itu.

Pegawai Veterinar ladang syarikat itu, Dr. Muhammad Aiman Shafiq Che Zahari berkata, pihaknya tidak menyangka proses rawatan sisa kumbahan yang dilakukan pihaknya mendapat pengiktirafan BKSA.

Katanya, menerusi kaedah itu pihak pengurusan ladang mengutamakan proses sisa kumbahan dengan menggunakan sistem kolam tadahan untuk diproses sebelum dilepaskan ke saliran sungai.

“Kita akan pastikan sisa kumbahan dari ayam termasuk sisa daripada pencucican kandang akan terus disalurkan ke dalam kolam tadahan untuk dirawat dengan betul sebelum dilepaskan.

“Ini bagi memastikan alam sekitar kekal selamat dan tidak menjejaskan faktor kesihatan dan kebersihan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1348
Kongsi :
Previous post PM hadir sambutan Hari Guru 2023 di MITC
Next post Pencapaian cemerlang peperiksaan bukti guru berkualiti – KM
Ubah saiz-+=