Kenaikan elaun guru jadi keutamaan – PM

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 16 Mei – Kenaikan elaun guru-guru menjadi antara keutamaan dalam memperkasa bidang pendidikan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, ia berikutan gaji dan upah yang diterima pendidik dan penjawat awam pada masa kini disifatkan masih tidak mencukupi.

Bagaimanapun kata beliau, kenaikan elaun itu memerlukan dana tambahan dan ia hanya dapat direalisasikan selepas pendapatan dan hasil negara bertambah kelak.

“Antara keutamaan saya ialah menaikkan elaun guru-guru dan perkhidmatan awam. Maknanya hasil yang diperolehi akan dipulangkan.

“Tetapi jangan minta sekarang, beri sedikit kesempatan. Sekarang kita sudah jimat berbilion dan kita sedang memacu pertumbuhan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-52 Tahun 2023 yang diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; barisan Exco Kerajaan Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan lain-lain kenamaan.

Dalam ucapannya Anwar turut merakamkan penghargaan kepada guru-guru negara yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam mendidik anak bangsa.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa prihatin terhadap sektor pendidikan yang mana pada Belanjawan MADANI sebelum ini, pendidikan menerima peruntukan tertinggi, diikuti sektor kesihatan.

“Antara penekanan program kita adalah memastikan sekolah-sekolah diberi kemudahan asas mencukupi.

“Selain itu, fokus juga terarah kepada membaik pulih sekolah-sekolah daif di seluruh negara yang mana pembaikan ini saya mahu berlaku secara ‘fast track’ dan tak mahu lihat ada kerenah pentadbiran menghalang pembaikan sekolah-sekolah daif ini,” katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan dua anugerah iaitu Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2023 dan Tokoh Guru Kebangsaan 2023.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1528
Kongsi :
Previous post Pencapaian cemerlang peperiksaan bukti guru berkualiti – KM
Next post Kutipan sumbangan Hari Guru dimansuhkan
Ubah saiz-+=