Sorting by

×

Pendaftaran penuntut KUIM patuhi SOP

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat
Mohd Adam (kanan) dan Muhammad Haiqal menjalani proses sanitasi sebelum mendaftar masuk kolej di RUMSIS Muslim KUIM, Kuala Sungai Baru. Foto Din Ahmad

KUALA LINGGI 3 Ogos – Pendaftaran 990 penuntut baharu Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) memasuki kolej semalam berjalan dalam situasi mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akibat pandemik COVID-19.

Selepas tertangguh sejak Jun lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), penuntut Semester I 2020/21 terbabit mendaftar masuk kolej atau asrama selepas mendaftar sebagai penuntut secara dalam talian dua bulan lalu.

Selain memakai pelitup muka, mereka menjaga jarak fizikal satu meter, menggunakan cecair sanitasi dan tidak berjabat tangan bagi mengelak daripada menjadi mangsa COVID-19.

Pendaftaran itu bagi membolehkan mereka ditempatkan di kolej baharu yang disiapkan beberapa bulan lalu, sekali gus memberikan penginapan lebih selesa untuk penuntut.

Pada Jun lalu penuntut terbabit mendaftar secara dalam talian dan mereka serta ibu bapa tidak perlu hadir di kampus berikutan SOP berkenaan, selain pengambilan penuntut terbabit tidak akan menyaksikan minggu orientasi dijalankan.

Mohd Adam Iman Abdul Halim, 18 dari Mentakab, Pahang berkata beliau teruja untuk mengikuti pengajian di kampus selepas mengikuti kelas pengajian dalam talian Jun lalu.

“Alhamdulillah, hari ini saya mendaftar masuk kolej selepas mengikuti kelas dalam talian di rumah dan saya yakin mampu menimba ilmu dalam bidang Diploma Pengurusan Hospitaliti dengan baik di kampus ini.

“Saya teruja untuk menginap di kolej baharu yang saya jangka lebih baik berbanding kolej lama yang dikatakan sudah tidak digunakan lagi,” katanya ketika ditemui di Rumah Siswa (RUMSIS) Muslim KUIM di Kuala Sungai Baru.

Ibunya, Suraya Dollah, 47, berkata beliau yakin KUIM mampu menyediakan pengajian dan penginapan serta diploma berkualiti tinggi yang mampu menyediakan ruang untuk Mohd Adam melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda kelak.

Muhammad Haiqal Hassan, 18, berkata beliau teruja untuk memulakan kuliah secara konvensional selepas dua bulan mengikuti kelas dalam talian.

“Saya puas hati dengan bilik kolej baru yang dilengkapi dengan katil, kipas, almari dan meja yang sesuai untuk penuntut seperti saya,” katanya.

Seramai 109,617 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 layak melanjutkan pengajian bagi sesi akademik 2020/2021 di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dilaporkan berkata, tawaran kemasukan adalah ke Universiti Awam (UA), Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Tawaran adalah bagi melanjutkan pengajian peringkat sijil, asasi, matrikulasi, diploma, Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) serta Ijazah Sarjana Muda Senibina Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sesi Akademik 2020/2021.

Views:

480
Kongsi :
Previous post MAIM dan JAIM ambil alih SM Imtiaz Ulul Albab
Next post ‘Awas, tendangan maut ternakan korban’
Ubah saiz-+=