Pendidikan prasekolah di Melaka akan diperluaskan

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BUKIT KATIL 11 Mac – Pendidikan prasekolah di Melaka akan diperluaskan susulan peningkatan dan permintaan tinggi dalam kemasukan murid di kelas terbabit.

Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sedang mengenal pasti sekolah yang berkeupayaan di negeri ini bagi memperluaskan pendidikan itu.

Jelasnya, setakat ini sebanyak dua buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Melaka dikenal pasti telah mendapat kelulusan pengoperasian pra sekolah di negeri ini.

“Bagi permohonan menambah kelas ini (bagaimanapun) perlu diteliti dengan lebih mendalam kerana perluasannya adalah tanpa memerlukan kos fizikal.

“Jadi lokasi di sekolah yang menyediakan itu perlu ada kemudahan dan kelengkapan yang bersesuaian untuk murid prasekolah seperti dapur sebagai ruang penyediaan makanan, ruang makan dan belajar.

“Setakat ini kita telah kenal pasti dua buah sekolah yang mampu menjalankan prasekolah iaitu SJKC Yok Sin dan SJKC Merlimau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Lawatan Pengurusan Tertinggi Melaka Hari Pertama Persekolahan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tun Razak,di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan negeri, Mohd Ghazali Ahmad; Pegawai Pendidikan Melaka Tengah, Yusri Seman dan Guru Besar SK Kampung Tun Razak, Sharlizah Mohd Zain.

Dalam pada itu, menurutnya, peluasan prasekolah yang dikenal pasti kali ini kebanyakannya membabitkan SJKC berikutan kemudahan yang disediakan mampu memenuhi kriteria yang diperlukan.

“Pada tahun lalu sebanyak enam buah sekolah terlibat dalam penambahan kelas prasekolah iaitu di SK Ayer Jernih, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kemuning HD, SJKC Machap Baru, SJKC Kiow Nam dan SJKC Bertam Hulu.

“Sehingga kini sebanyak 174 sekolah di seluruh negeri ini ada menyediakan prasekolah termasuk di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu Melaka di Durian Daun, Sekolah Khas Sekolah Rendah Agama (SRA) dengan jumlah kelas sebanyak 256 buah kelas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1172
Kongsi :
Previous post Lebih 150,000 murid dan pelajar mula sekolah di Melaka hari ini
Next post 447,982 murid tahun satu terima bantuan awal persekolahan
Ubah saiz-+=