Lebih 150,000 murid dan pelajar mula sekolah di Melaka hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

MERLIMAU 11 Mac – Seramai 153,813 murid akan memulakan sesi persekolahan penggal 2024/2025 di Melaka hari ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata jumlah itu merangkumi 87,266 murid sekolah rendah dan 66,547 murid sekolah menengah di Melaka.

Katanya, seramai 5,622 murid berumur enam tahun akan memulakan sesi persekolahan peringkat prasekolah di 174 buah sekolah dengan melibatkan 256 kelas keseluruhannya.

“Seramai 13,804 murid akan mendaftar tahun satu di 238 sekolah rendah dengan melibatkan 519 kelas.

“Manakala seramai 12,502 murid tingkatan satu akan mendaftar di 79 buah sekolah menengah dengan melibatkan 395 kelas keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi lawatan pembukaan pengoperasian sekolah Kumpulan B, di Sekolah Kebangsaan (SK) Merlimau 2 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azman berkata secara keseluruhan seramai 5.05 juta pelajar memasuki persekolahan untuk sesi 2024/2025 di seluruh negara semalam dan hari ini.

Jelasnya, bagi Kumpulan B iaitu sekolah-sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Manakala, jelasnya sesi persekolahan penggal 2024/2025 bagi Kumpulan A, iaitu sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu bermula semalam dengan melibatkan seramai 1.44 juta murid serta pelajar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

625
Kongsi :
Previous post Bacaan hilal tidak tepati kriteria, 1 Ramadan jatuh 12 Mac
Next post Pendidikan prasekolah di Melaka akan diperluaskan
Ubah saiz-+=