
PENDUDUK KAMPUNG GANGSA TERIMA TONG SAMPAH INDIVIDU OKTOBER INI
DURIAN TUNGGAL 4 Ogos – Penduduk Kampung Gangsa bakal menerima tong sampah individu di setiap kediaman bermula Oktober ini, sekali gus menyelesaikan isu pembuangan sampah berpusat yang berlarutan sejak sekian lama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil berkata, langkah itu akan melibatkan 367 rumah penduduk yang sebelum ini bergantung kepada tong sampah berpusat di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Gangsa.
“Isu tong sampah berpusat ini sering menimbulkan masalah kerana ia bukan sahaja digunakan penduduk kampung, tetapi orang luar termasuk peniaga berdekatan. Kita sudah tidak mampu mengawal pembuangan sampah di lokasi tersebut.
“Alhamdulillah, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) telah bersetuju dan Insya-Allah dalam program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal pada bulan Oktober, kita akan serahkan tong sampah kepada penduduk yang telah memohon tong sampah untuk kediaman ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan Sesi Libat Urus Penyediaan Tong Sampah Individu Kampung Gangsa di SK Gangsa, di sini, semalam.
Hadir sama, Yang Dipertua MPAG, TPr. Saifuddin Abdul Karim.
Zahari yang juga Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Negeri berkata, jadual kutipan sampah akan dilaksanakan sama seperti di taman perumahan iaitu dua kali seminggu bagi sampah basah dan sekali seminggu bagi sampah pukal.
Selain itu, jelas beliau, MPAG turut memberikan pengecualian cukai selama dua tahun kepada penduduk yang menerima tong sampah individu bagi fasa pertama ini memandangkan ia adalah projek rintis.
“Buat masa ini, pihak Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) telah memulakan langkah sama di kawasan mereka dua bulan lalu.
“Apabila semua penduduk menerima tong sampah masing-masing nanti, tong sampah berpusat akan ditarik balik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.