Sorting by

×

PENERIMA PTK DIINGATKAN JANGAN LENGAH SELESAIKAN PREMIUM TANAH

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

REMBIA 16 Ogos – Pemohon menerima Surat Kelulusan Permohonan Tanah Kerajaan (PTK) diingatkan supaya segera menjelaskan bayaran premium dalam tempoh tiga bulan sebelum geran hak milik didaftarkan atas nama mereka.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia merangkap Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, kegagalan menjelaskan bayaran dalam tempoh ditetapkan boleh menyebabkan kelulusan terbatal dan tindakan penguatkuasaan diambil.

Katanya, daripada 47 penerima, seramai 45 adalah penduduk Jalan Keretapi Kampung Pengkalan yang isu pemilikan tanahnya telah berlarutan sejak 30 tahun lalu.

“Atas inisiatif dan keprihatinan Kerajaan Negeri, isu ini diambil tindakan dengan memberi peluang kepada penduduk kampung mengemukakan permohonan bagi mendapatkan hak milik kekal yang mana sebelum ini, pemilikan adalah secara Lesen Pendudukan Sementara (LPS) sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Kelulusan PTK bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Rembia, di Dewan Majlis Perbandaran Alor Gajah, di sini, semalam.

 

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata sehingga kini sebanyak 111 permohonan tanah kerajaan bagi tanah rizab di Jalan Keretapi di DUN Rembia telah diterima.

Jelasnya, daripada jumlah itu 35 lagi sedang diproses Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah (PDTAG) sebelum diangkat untuk pertimbangan pihak berkuasa negeri.

“Kerajaan Negeri komited untuk menyelesaikan isu pemilikan tanah rizab di Jalan Keretapi Lama ini dengan sebaik mungkin,” tegasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

476
Kongsi :
Previous post KAPAL ‘HANTU’ DITUNDA KE KSB, JALANI PEMERIKSAAN SEBELUM SIASATAN PENUH – MARITIM
Next post TABIKA KEMAS AUTISME BAKAL BERI IMPAK