Pengajian dalam talian: Penuntut UiTM tak mampu biayai kuota internet

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

TANJUNG BIDARA 18 Okt. – Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Lendu, di sini, Muhammad Nadhir Haziq Mohd Rais, 21, tidak mahu ketinggalan mengikuti kelas dalam talian tetapi dia tidak memiliki dana mencukupi untuk mendapatkan kuota internet.

Sehubungan itu, dia terpaksa menelan kepahitan dan kekecewaan setiap kali terlepas kuliah dalam talian akibat kekurangan dana untuk mendapatkan kuota internet.

Muhammad Nadhir dalam masa sama enggan menyusahkan bapanya, Mohd Rais Johan, 50, yang  bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Katanya, sejak kelas dilaksanakan secara dalam talian berikutan pandemik COVID-19 Mac lalu, beliau berusaha sedaya upaya untuk tidak terlepas peluang mengikuti kelas berkenaan bagi memastikan mampu menduduki peperiksan dengan sempurna.

“Pada ketika kelas tidak penuh, saya membelanjakan RM55 sebulan untuk mendapatkan kuota internet tetapi jika kelas sentiasa penuh, saya terpaksa membeli kuota internet tambahan.

“Bagaimanapun, pendapatan bapa tidak mengizinkan saya untuk mendapatkan kemudahan tambahan itu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Bidara Palma, Tanjung Bidara dekat sini hari ini.

Dia, bapanya serta adiknya, Mohd Naim Helmi, 19, menerima kunjungan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsuddin yang menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban mereka sekeluarga, terutama membantu Muhammad Nadhir mendapatkan kuota internet.

Penuntut Semester Lima Diploma Pentadbiran Pejabat itu berkata, dia terpaksa mengikat perut bagi memastikan mempunyai dana mencukupi bagi mendapatkan kuota internet.

“Setiap kali terlepas kelas dalam talian, saya terpaksa mendapatkan nota dan penjelasan daripada rakan yang sempat megikuti kelas tetapi saya amat malu untuk asyik meminta bantuan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, dia dan anggota keluarganya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Mas Ermieyati kerana sudi membantunya mendapatkan kuota internet yang amat penting untuk pengajian ketika musim pandemik COVID-19 sekarang.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, beliau tersentuh apabila Muhammad Nadhir memohon bantuan kepada Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Masjid Tanah bagi mendapatkan dana pembelian kuota internet.

“Pengajian dalam talian sekarang amat penting bagi penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta kerana mereka tidak dapat menghadiri kelas dalam bilik kuliah seperti sebelum pandemik COVID-19,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta Muhammad Nadhir memanfaatkan sumbangan berkenaan bagi memastikan dia tidak terlepas peluang mengikuti kuliah dalam talian serta
mencatatkan kecemerlangan dalam peperiksaan.

Views:

937
Kongsi :
Previous post Air pasang besar jejaskan nelayan di Pantai Puteri dan Kuala Linggi
Next post COVID-19: 1 kes baharu direkodkan di Bukit Katil
Ubah saiz-+=