Air pasang besar jejaskan nelayan di Pantai Puteri dan Kuala Linggi

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

PANTAI KUNDOR 18 Okt. – Nelayan di Pantai Puteri dan penduduk serta nelayan berhampiran pantai di Kuala Sungai Baru dan Kuala Linggi mengalami kesulitan berikutan fenomena air pasang besar mulai awal pagi ini.

Fenomena berkenaan di Pantai Puteri dan Pantai Kuala Sungai Baru serta Tanjung Dahan di Kuala Linggi pada jam 7 pagi ini menyebabkan nelayan terpaksa segera mengetatkan tali perahu dan memindahkan peralatan menangkap ikan.

Ini kerana fenomena itu dibimbangi menyebabkan perahu gentian kaca mereka terlucut dan dihanyutkan ke tengah laut, manakala peralatan seperti jaring atau pukat, rawai dan seumpamanya dikhuatiri mengalami kerosakan jika tidak segera dipindahkan.

Tinjauan di Kampung Pantai Rombang, iaitu sebahagian daripada Pantai Puteri yang sepanjang 10 kilometer (km) hari ini, mendapati nelayan berbuat demikian sebagai tindakan kali kedua tahun ini selepas berbuat perkara yang sama pada 21
September lalu.

AIR pasang besar memburukkan lagi hakisan di warung kopi Pilus Saban di Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru dekat Alor Gajah. Foto Din Ahmad

Mohd Rahmad Khamis, 36, berkata sejurus selepas solat Subuh tadi, nelayan beramai-ramai menolak perahu jauh dari gigi pantai dan mengetatkan ikatan tali perahu pada struktur tetap seperti tiang pondok nelayan atau pokok.

“Kami juga memindahkan jaring, sungkur, langgai dan rawai ke tempat selamat bagi mengelakkan kerugian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, fenomena berkenaan berlaku pada setiap kali angin barat bertiup kencang dari September hingga Oktober setiap tahun.

Sementara itu, nelayan di Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi dekat Alor Gajah turut berbuat demikian berikutan air pasang besar mulai awal pagi ini.

Kamarudin Yusof, 61, berkata fenomena berkenaan meningkatkan kebimbangan nelayan yang sedang bergelut dengan masalah hakisan pantai yang amat serius  sejak Julai lalu.

KANAK-kanak bermain air pasang besar di Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi dekat Alor Gajah. Foto Din Ahmad
– Foto DIN AHMAD

“Sebahagian besar daripada 100 nelayan di kampung ini tidak dapat turun ke laut sejak tiga bulan lalu dan terpaksa mencari kerja lain di daratan,” katanya.

Peniaga warung kopi di Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, dekat Alor Gajah, Pilus Saban, 70, berkata air pasang besar menyebabkan hakisan pantai berhampiran warungnya semakin melebar dan membimbangkannya.

“Sejak hujung Jun lalu ombak besar dari selatan mengorek pasir pantai dan mengakibatkan hakisan bertambah meluas hingga sudah terlalu hampir dengan lantai warung.

“Hari ini hakisan itu semakin teruk akibat air pasang besar yang menjadi ombak besar berikutan angin kencang dari barat,” katanya.

Views:

1008
Kongsi :
Previous post Terima kasih ‘KM’ sudi melawat
Next post Pengajian dalam talian: Penuntut UiTM tak mampu biayai kuota internet
Ubah saiz-+=