Pengamal media perlu cipta semula ekosistem pengoperasian menuju IR 4.0
BANDA HILIR 29 Mei – Industri kewartawanan tidak relevan jika pengamal media tidak bersedia menghadapi cabaran pada zaman kini kerana diambil alih oleh media baharu.
Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar berkata dunia kewartawanan kini berdepan dengan cabaran perkembangan teknologi komunikasi dan kewujudan pelbagai platform media sosial.
Katanya, pengamal media perlu mempunyai ekosistem pengoperasiannya menuju Revolusi Industri (IR 4.0.)
“Dahulu beroperasi dengan konteks dan kaedah berbeza, dulu perlukan wartawan, soundman, jurukamera dan sebagainya untuk melaporkan satu acara iaitu satu bentuk pengoperasian yang tidak dapat dielakkan seperti televisyen.
“Namun kini wujudnya ‘bagpack journalism’ atau satu orang boleh buat perubahan dengan aplikasi yang ada dalam telefon pintar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam sesi 2 Forum HAWANA 2020 bertajuk ‘Kewartawanan 2030: Mengintai Landskap Masa Depan Media’ di Hotel Hatten, di sini hari ini.
Forum itu turut membariskan dua lagi panelis iaitu Presiden Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia (MJTS) Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican dan Ketua Pemberita Daily Express Hayati Dzulkifli.
Dalam pada itu, Ahmad Murad Merican berkata dunia kewartawanan tidak boleh dilihat tunduk dengan kewujudan teknologi baharu, yang dilihat dapat menghakis profesion itu.
Katanya, ketika ini kewartawanan telah hilang aspek pendapat apabila ia tidak lagi mampu menyaingi kepantasan berita.
“Satu lagi aspek ataupun dimensi yang mungkin lebih penting daripada berita itu sendiri adalah pendapat, bermaksud tafsiran, komentar mahupun ulasan dah hilang dari dunia kewartawanan (ketika ini).
“Ia dah dirampas oleh digital media. Kita jangan diperhambakan oleh perkembangan-perkembangan tadi,” katanya.
Dia turut menyarankan agar organisasi media mempunyai bilik ratifikasi sendiri untuk membuat analisis mengenai kesahihan sesuatu berita terutama yang tular di media sosial yang dilihat menghakis nilai-nilai kewartawanan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.