Bidang kewartawanan tertulis dalam lipatan sejarah Melaka
BANDA HILIR 29 Mei – Sejarah Melaka turut membabitkan bidang kewartawanan di negara ini dengan penerbitan akhbar Suara Benar pada 2 September 1932.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pada awal abad ke-20, wujud golongan elit daripada sistem pendidikan formal yang berpendidikan Melayu, Inggeris dan Arab yang bangkit, bergabung menubuhkan pertubuhan-pertubuhan sosial membincangkan nasib bangsa.
“Akhbar Suara Benar memuatkan artikel berita, kebudayaan, agama dan isu semasa melibatkan masa depan bangsa.
“Suara Benar telah menjadi saluran meluahkan perasaan dan menanamkan semangat kebangsaan orang-orang melayu Melaka ketika itu,” katanya.
Beliau berkata, demikian pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 di Banda Hilir, di sini, hari ini yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Sulaiman berkata, di Melaka juga terletaknya ‘The Royal Press’, Muzium Warisan yang saya ibaratkan sebagai ‘Muzium Percetakan’ kerana memiliki pelbagai koleksi bahasa (polyglot) yang didedikasi memelihara kraf percetakan huruf.
Katanya The Roya Press House juga memilik koleksi akhbar-akhbar lama yang dianggap sebagai khazanah perlu dipulihara agar menjadi rujukan bidang kewartawanan di masa akan datang.
“Premis ini menyimpan lebih 150,000 blok cetak dalam pelbagai bahasa iaitu Arab, Roman, Cina serta Tamil. The Royal Press juga memiliki barangan percetakan antaranya mesin cetak Glockner-Mercedes tahun 1956 dan Linotype model 78 yang dibuat pada tahun 1961.
“Banyak lagi barangan lain berkaitan kewartawanan terdapat di galeri ini. Kepelbagaian koleksi yang dimiliki premis ini mencerminkan kemajuan sektor pelancongan di Melaka serta keunikan komuniti masyarakat berbilang kaum Malaysia khususnya Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.