Pengangkutan udara sokong gelembung perjalanan Melaka-Terengganu

Masa Membaca:2 Minit, 35 Saat

TERENGGANU 31 Mac – Kemudahan pengangkutan udara dijangka diperkenalkan di bawah di bawah program gelembung perjalanan (travel bubble) antara Melaka dengan Terengganu dalam usaha merancakkan lagi kerjasama pelancongan antara kedua-dua negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, pihaknya merancang mengatur pertemuan dengan beberapa syarikat penerbangan seperti Malindo Air bagi membuka laluan penerbangan ke Terengganu sempena program travel bubble itu.

Menurutnya, usaha itu perlu diambil memandangkan program travel bubble mementingkan kemudahan pengangkutan awam selain pengangkutan darat melalui bas persiaran.

MUHAMMAD Jailani dan Ariffin berbincang mengenai pakej pelancongan antara kedua-dua negeri.

“Jarak perjalanan Melaka ke Terengganu memang bersesuaian dengan perlaksanaan travel bubble ini kerana program ini menekankan pengangkutan awam.

“Insya-Allah, sekiranya perlaksanaan program travel bubble antara kedua-dua negeri berjalan lancar, kita mahu pelbagaikan kemudahan pengangkutan sedia ada kerana selain pengangkutan darat dari segi bas, mungkin selepas ini kita ada kemudahan kapal terbang untuk destinasi kedua-dua negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran Pakej Pelancongan Asam Di Gunung, Garam Di Laut dan Melaka Terengganu Menyokong Interstate Travel Buble yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Terengganu, Ariffin Deraman.

Seramai 27 delegasi mewakili pelbagai agensi kerajaan negeri yang berkaitan industri pelancongan menyertai lawatan kerja Tourism Melaka Bagi Pembangunan Pakej Pelancongan Melaka-Terengganu, antaranya Majlis Pembangunan Pulau-Pulau Melaka, Perbadanan Muzim Melaka, Jabatan Perikanan Melaka dan Zoo Melaka, Majlis Perbandaran Alor Gajah dan PLANMalaysia@Melaka.

Menurutnya, kemudahan pengangkutan udara ke Terengganu dan Melaka di bawah travel bubble itu perlu direalisasikan bagi memastikan matlamat program itu tercapai.

“Jika kita mahu objektif travel bubble ini tercapai, saya rasa kemudahan pengangkutan antara Terenganu-Melaka perlu dipertingkatkan memandangkan jarak antara negeri agak jauh sedikit.

“Kita mungkin boleh ada ‘flight’ kerana sebelum ini Malindo Air sedia ada menawarkan kemudahan antara kedua-dua negeri ini, nanti kita akan berbincang dengan pihak Malindo Air memandangkan mereka juga bergantung kepada trafik.

“Jika ada permintaan yang banyak baru Malindo air akan buka, nanti kita bincang dengan pihak tersebut mengenai rancangan ini,” katanya.

Pada masa yang sama, kata beliau, bilangan pelancong Terengganu ke negeri ini pada tahun lalu didapati meningkat seramai 264,105 orang sekali gus menduduki tangga kelapan negeri yang paling ramai berkunjung ke Melaka.

Pada tahun lalu, Melaka mencatatkan penurunan jumlah pelancong yang ketara sebanyak 78.01 peratus daripada 18.7 juta pelancong pada 2019 kepada 5.05 juta pada tahun lalu.

Selain itu Muhammad Jailani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia meminta penggiat industri pelancongan di Melaka membudayakan norma baharu termasuk melaksanakan kesemua SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memberikan perkhidmatan pelancongan yang terbaik dan selamat kepada semua pelancong.

Bagi tujuan itu, katanya, Tourism Melaka dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah melaksanakan Program Pensijilan Patuhi dan Amal SOP COVID-19 negeri secara berperingkat sebagai usaha meningkatkan tahap keyakinan pelancong ke Melaka.

Ujar beliau, setakat fasa satu lalu, sebanyak 500 premis pelancongan Melaka akan disijilkan dengan kos pendaftaran akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak BPP.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

492
Kongsi :
Previous post Prebet Adam meninggal dunia
Next post Semua menteri UMNO kekal dalam Kabinet- PM Muhyiddin
Ubah saiz-+=